Selepas lebih seminggu dibelasah, ini status laporan perubatan lelaki OKU
Selepas lebih seminggu seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) dibelasah di Terengganu, laporan perubatan mangsa masih belum siap setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Terengganu Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah (gambar atas) berkata, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, bagaimanapun berada dalam stabil.
Menurutnya yang juga Adun Wakaf Mempelam, lelaki OKU berkenaan masih dalam pemerhatian petugas perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.
“Sehingga semalam, saya berhubung dengan pihak hospital, masih lagi belum ada satu tarikh yang tertentu untuk selesaikan laporan perubatan mangsa.
“Dia (mangsa) masih ada di wad dan masih di bawah pemerhatian pihak hospital (dan) saya difahamkan keadaannya stabil,” katanya dipetik BH.

Dalam keganasan tidak berperikemanusiaan pada 17 Januari lalu, Ahmad Nor Al Faizan cedera dipukul, disepak terajang termasuk di muka selain diheret semasa hujan turun oleh beberapa lelaki.
Pemegang kad OKU kategori mental sejak 19 Mac 2023 berkenaan yang sebelum itu bermotosikal dikatakan terlanggar gerai jualan di pasar tani Padang Astaka, Chukai, Kemaman mengakibatkan mi goreng untuk jualan terjatuh.
Sekurang-kurangnya enam suspek kesemuanya lelaki berusia antara 18 hingga 60 tahun telah ditahan polis setakat 21 Januari lalu bagi siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

BACA JUGA Ini sebabnya Presiden AMANAH yakin boleh menang berbelas kerusi di Kelantan
Â