Bekas CEO syarikat air Johor didakwa tipu sumbangan RM3.38 juta

Bekas ketua pegawai eksekutif syarikat air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan meminta sumbangan berjumlah RM3.38 juta untuk dua program sedangkan program itu tidak pernah dilaksanakannya.

Faizal Aliar, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Faizal didakwa memperdaya Ranhill SAJ untuk menderma RM82,500 bagi ‘Program Imarah Ramadan 2023’ yang tidak pernah dilakukan.

Dia didakwa menulis surat meminta sumbangan kepada syarikat itu pada 1 April 2023, sebelum Ranhill SAJ memindahkan dana itu ke akaun bank yang dikaitkan dengan NGO bernama Pertubuhan Inspirasi Prihatin Malaysia.

Faizal turut didakwa memperdaya syarikat terbabit menyalurkan RM3.3 juta untuk ‘Program Prihatin Komuniti Madani 2023’ ke akaun bank yang sama, berdasarkan surat yang dihantarnya pada 4 April 2023.

Dakwaan bagi kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

BACA JUGA Berdemo semasa lawatan Prabowo, PM bersuara terhadap himpunan pesawah hari ini

Â