Razman akuI terkhilaf tapi ‘sedikit kecewa’ dengan laporan berita

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria tampil mengakui terkhilaf selepas dihujani kecaman orang ramai apabila mendakwa Hannah Yeoh mempunyai kaitan dengan keluarga Pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.

Menerusi kenyataan media hari ini, Razman dalam masa sama mempersoalkan laporan berita yang hanya merujuk kenyataannya berkaitan Menteri Belia dan Sukan itu yang kira-kira kurang 10 saat dari keseluruhan ceramah lebih setengah jam.

“Saya mengakui kesilapan fakta tentang kaitan Hannah Yeoh dan syarikat gergasi YTL.

“Saya mengakui bahawa Hannah Yeoh tiada kaitan dengan tokoh korporat atau syarikat YTL. Ia kesilapan kata-kata yang berlaku tanpa sengaja.

“Saya juga sedikit kecewa berkaitan pemberitaan yang seperti sengaja mencari kesilapan dengan hanya melaporkan kesilapan tersebut tanpa mengulas ucapan dan isu lain selain kejayaan program tiga hari tersebut,” katanya.

Terdahulu, tular sedutan ucapan Razman semasa program Gerak Muafakat Perak di Seri Iskandar semalam yang selamba menyebut Hannah Yeoh anak kepada pemilik YTL.

Susulan itu, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut dalam reaksi ringkasnya mengingatkan Pas bahawa tidak semua individu dengan nama Yeoh mempunyai kaitan dengan YTL.

Mengulas lanjut, Razman menyatakan kekesalan dan pernyataan maaf kepada Hannah dan YTL serta mana-mana pihak yang terkesan atau tersentuh dengan kenyataan atas kekeliruan fakta yang disebutkannya.

“Saya mengharapkan isu ini difahami dengan penjelasan yang saya berikan.

“Saya juga menyeru pemberitaan berbentuk menajamkan intelek rakyat dan bukan menajamkan permusuhan dalam kalangan rakyat,” tambah Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gunung Semanggol itu lagi.

BACA JUGA ‘Anak orang kaya YTL’: Ini reaksi Hannah Yeoh, ramai harap Razman kena saman

Â