Tak serik kena saman, Razman dakwa Hannah Yeoh anak pemilik YTL pula
Sudah beberapa kali terpalit dengan saman fitnah, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria nampaknya tidak serik dan istiqomah buat hal lagi.
Kali ini tular dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gunung Semanggol itu kononnya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh adalah anak kepada pengasas Kumpulan YTL, Tan Sri Yeoh Tiong Lay yang meninggal dunia pada 2017.
Gelagat Razman yang pernah diperintah membayar ganti rugi RM250,000 kepada Lim Guan Eng berhubung hantaran Facebook yang dianggap memfitnah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menarik perhatian warganet.

Antaranya, TikTokers Harun Shah yang turut mengimbau bagaimana pemimpin Pas kena saman fitnah sehingga terpaksa menjelaskan bayaran sebanyak RM830,034.75 terhadap pemimpin DAP iaitu Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng serta Teresa Kok pada 22 Januari lalu.
“Pas memang tak serik. Sebelum ini, (Ahli Parlimen Kepala Batas dari Pas, Dr. Siti Mastura Muhammad) kata sepupu, dah kena saman. Yang ini adik-beradik pula dah.
“Hei Razman, Pak Teh, main ikut dan je. Hang boleh kata Hannah Yeoh anak pemilik syarikat YTL, (Tan Sri) Yeoh Tiong Lay.
“Asalkan nama Yeoh, Lim je adik beradik. Aduh, masalah betullah kau ni,” tempelaknya.
Serkap jarang Razman itu kemudiannya mendapat reaksi Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut.
Pemimpin DAP berkenaan mengingatkan Pas tentang sistem penamaan dalam masyarakat Cina yang didahului nama keluarga diikuti oleh nama pemberian.
“Pas perlu tahu bahawa tidak semua (nama) Yeoh mempunyai kaitan,” katanya ringkas di platform X.
Respon Hannah itu seterusnya mengundang desakan orang ramai termasuk berharap agar Razman dikenakan tindakan undang-undang kerana memfitnah.
BACA JUGA ‘Anak orang kaya YTL’: Ini reaksi Hannah Yeoh, ramai harap Razman kena saman