PN Pulau Pinang bergolak: MIPP tiada asas pimpin, dakwa Lau

Presiden Gerakan Dominic Lau menolak kesediaan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) untuk mengetuai Perikatan Nasional Pulau Pinang.

“Tanya dialah apa asas nak ambil alih kerana kita dah berada di Pulau Pinang lama. Gerakan sendiri ditubuhkan selama 58 tahun, kita ketua menteri (Pulau Pinang) selama 39 tahun, bukan tiga tahun…jadi asas kita ada disana.

“Apa sahaja khabar angin datang (mengenai MIPP nak ketuai Pulau Pinang) namun kalau tak ada kepastian juga tak boleh (terjadi) kerana kita (Gerakan) dah ada di sana,” katanya kepada media.

Pada 26 Jan, Presiden MIPP P Punithan menyatakan kesediaan partinya untuk mengetuai kepimpinan PN Pulau Pinang.

Ini ekoran laporan terdahulu FMT yang memetic sumber yang mengatakan bahawa PN perlu mengalihkan fokus daripada pengundi Cina kepada Melayu dan India untuk menang di negeri tersebut.

Gerakan setakat ini telah gagal memenangi pengundi Cina.

Pada masa sama terdapat peningkatan sokongan dalam kalangan masyarakat India yang terlihat dalam pilihan raya kecil Sungai Bakap.

Buat masa ini, Gerakan mempunyai seorang Adun di Kedah dan MIPP tiada wakil wakil rakyat.