Zahid ingatkan pemimpin ketepi perbezaan politik dan kaum
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin agar menjaga kepentingan rakyat tanpa mengambil kira perbezaan politik, agama dan kaum.
Beliau berkata, soal siapa yang menang lebih besar atau menang sedikit itu adalah perkara kedua kerana yang paling utama adalah amanah yang perlu dilaksana untuk rakyat.
“Sebagai ahli politik, kita tidak boleh mempunyai warga yang berbeza-beza. Soal menang banyak atau menang sedikit itu perkara kedua.
“Yang penting, apabila menang sebagai Ahli Parlimen atau Adun, kita perlu menjaga kepentingan semua.
“Rakyat, tanpa mengira parti politik, agama, kaum, ataupun perbezaan budaya dan bahasa, perlu diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya ketika berucap merasmikan Dewan RC di Bagan Datuk, menurut laporan Bernama.
Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, pemimpin perlu terus menyantuni rakyat di kawasan mereka, termasuk golongan muda sama ada yang bekerja di kawasan sendiri atau berada di luar negara.
BACA JUGA Tiba-tiba semua nak berlakon jadi terpaling Cina…