4.37 juta pekerja nikmati gaji minima terbaharu mulai esok

Sejumlah 4.37 juta pekerja akan menikmati kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,700 berkuat kuasa esok

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), perintah gaji minimum baharu itu ditetapkan kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih serta majikan menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan.

Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos ini bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.

“Langkah ini bakal memanfaatkan 4.37 juta pekerja selaras dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif.

“Ia juga sejajar dengan komitmen kerajaan untuk ‘Menaikkan Lantai’ ekonomi negara dengan meningkatkan kuasa beli yang seterusnya dapat menambah baik kualiti hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Bagi memastikan peralihan ini dapat berjalan lancar, KESUMA menyediakan beberapa inisiatif sokongan kepada majikan dan pekerja, termasuk menyediakan saluran aduan dan pemantauan bagi pekerja yang menghadapi ketidakpatuhan menerusi menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah, dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak.

“KESUMA juga bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memberi panduan dan bantuan kepada syarikat yang memerlukan penyesuaian dalam struktur gaji,” katanya.

BACA JUGA: Berita baik untuk penjawat awam

Â