Gempar Ahli Parlimen veteran ini ditahan atas tuduhan merogol
Ahli Parlimen (MP) dari Sitapur di India, Rakesh Rathore, ditahan semalam kerana didakwa merogol seorang wanita berusia 45 tahun sejak empat tahun lalu.
Mangsa berkenaan mendakwa ahli politik di negeri utara Uttar Pradesh berusia 60 tahun itu berjanji untuk mengahwininya dan membina kerjaya politiknya.
Rathore, yang dipilih sebagai MP selepas menewaskan Rajesh Verma dari BJP dalam pilihan raya Lok Sabha 2024 itu ditahan ketika mengadakan sidang media di kediamannya bagi menjawab tuduhan terhadapnya.
Lapor Hindustan Times memetik Penguasa Polis (SP) Sitapur, Chakresh Mishra, polis telah membuka kertas siasatan terhadap Rathore pada 17 Januari lalu di bawah tuduhan merogol, ugutan jenayah, dan mengugut dengan senjata api.
Sebelum ini, polis telah memburu Rathore di beberapa bandar antaranya, Sitapur dan Lucknow.
Polis juga memaklumkan telah mengeluarkan notis kepada Rathore pada 21 Januari lalu meminta maklum balas, tetapi dia mengelak daripada ditahan selama dua minggu.
“Rathore dibawa ke balai polis City Kotwali untuk tindakan undang-undang selanjutnya.
“Dia akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi,” kata Mishra.
BACA JUGA Berita baik untuk penjawat awam