Elak ditunggang sebagai ancaman terhadap Islam
Majlis Ulama UMNO menasihatkan agar pimpinan kerajaan terutamanya menteri bukan Islam, untuk lebih berhati-hati dalam memberi ulasan berkenaan isu berkaitan kepentingan Islam dan umatnya.
Menerusi satu kenyataan, Majlis Ulama UMNO berkata ia penting supaya tidak memberi tanggapan buruk sehingga membolehkan pihak tertentu ‘menunggang’ dan memprovokasi isu berkenaan sehingga menjadi ancaman terhadap agama Islam.
Kejadian terbaharu turut dibangkitkan Majlis Ulama UMNO berkenaan isu sandwic ‘ham dan keju’ yang menggunakan logo halal palsu serta penjualan arak di kawasan majoriti orang Islam di Ipoh, Perak.
“UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi antara tonggak yang berjaya memperkasakan lagi Islam dalam Kerajaan Perpaduan, sebagai kesinambungan usaha kerajaan terdahulu dalam membangunkan Islam dalam negara ini sejak merdeka.
“Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama ini menjadi model terbaik bagi mewujudkan perpaduan kaum seluruh rakyat Malaysia termasuk Sabah Sarawak,” menurut Majlis Ulama UMNO tanpa merujuk secara khusus kepada mana-mana Menteri.
Sehubungan itu, majlis itu berharap agar semua parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan mengekalkan keharmonian dan sensitiviti semua kaum.
Majlis Ulama UMNO juga menambah, pihaknya akan terus berperanan menyuburkan Islam dalam negara dan mempertahankan asas-asas utama Perlembagaan Persekutuan membabitkan Islam, Bahasa Melayu, Raja-raja Melayu dan Hak Istimewa Orang Melayu.
BACA JUGA Khatib di Perak tapi baca teks Pulau Pinang, rupanya tajuk khutbah Jumaat JAIPk pasal ini
Â