Selepas dakwaan lahir dari DAP, Pas sedia ‘melawan’ AMANAH

Pas bersedia untuk ‘melawan’ jika AMANAH mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan bahawa parti komponen Kerajaan Perpaduan itu dilahirkan daripada DAP untuk memecah-belahkan Pas.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menyifatkan perkara itu sebagai masalah besar dan bersedia untuk ‘melawan’.

“Mahkamah terbuka, siapa nak saman, siapa nak kena saman pun boleh tapi kadang-kadang banyak juga kes mahkamah berlaku, dia saman orang, dia kalah dan kena bayar pada orang yang dia saman… jadi kita tiada masalah.

“Dia (AMANAH) saman, kita lawan. Jangan anggap dia saja boleh saman, kita pun boleh kerana semua ada hak dari segi undang-undang.

“Biar mahkamah tentukan, ‘see you in court’,” katanya, dipetik BH.

Terdahulu, Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menegaskan AMANAH diasaskan oleh bekas ahli Pas yang menolak hala tuju politik parti diterajui Tan Sri Abdul Hadi Awang itu.

Menurut Mahfuz, terdapat pelbagai dakwaan mengenai asal usul penubuhan AMANAH termasuklah ia ditubuhkan oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli sedangkan ia tidak benar.

Sementara itu, Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil, berkata Biro Mobilisasi akan menggerakkan laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap Sanusi susulan ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu.

Dalam program Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia di Kedah semalam, Sanusi yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat mendakwa AMANAH dilahirkan DAP.

Mengulas keceluparan Sanusi, Faiz yang juga anak kepada bekas Presiden Pas Allahyarham Datuk Fadzil Noor, menyifatkan Pas pada masa ini terdesak untuk terus bermain dengan isu sentimen agama dan kaum.

“Rakyat Malaysia perlu dijamin kehidupan yang sejahtera dengan membuang awal-awal sikap ekstremisme yang sedang dibina Pas hari ini,” kata Faiz melalui kenyataan, hari ini.

BACA JUGA Deretan fitnah Pas terhadap AMANAH, nantikan laporan polis

Â