Selepas nahas udara ragut 67 nyawa di Washington, gempar jet eksekutif pula terhempas

Hanya berselang dua hari selepas nahas udara di Washington, Amerika Syarikat (AS) yang meragut 67 nyawa, negara itu dikejutkan dengan tragedi membabitkan jet kecil di kawasan pinggir bandar Philadelphia.

Pesawat perubatan jenis Learjet 55 yang membawa enam orang, termasuk seorang pesakit pediatrik dan ibunya itu terhempas di kawasan kejiranan timur berhampiran Roosevelt Mall.

Akibat nahas yang berlaku sejurus selepas pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Timur Laut Philadelphia menuju ke Lapangan Terbang Nasional Springfield-Branson di Missouri, letupan besar berlaku mengakibatkan beberapa rumah dan kenderaan terbakar.

Memetik New York Post, kesemua enam individu di dalam pesawat itu dipercayai terkorban di lokasi padat dengan rumah, kedai dan jalan raya yang sibuk.

Selain itu, enam orang di darat turut cedera dan telah dibawa ke hospital dengan tiga daripadanya masih menerima rawatan.

Punca nahas masih dalam siasatan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB).

Keadaan cuaca yang buruk dilaporkan semasa kejadian, dengan hujan dan jarak penglihatan yang rendah, namun belum disahkan sebagai faktor penyumbang kepada nahas tersebut.

Menurut laman penjejakan penerbangan FlightAware, Learjet adalah pesawat yang digunakan untuk mengangkut pesakit perubatan.

Tragegi ini berlaku hanya dua hari selepas pesawat domestik PSA Airlines bertembung di udara dengan helikopter tentera, Sikorsky H-60 yang mengorbankan 67 nyawa, ketika menghampiri Lapangan Terbang Kebangsaan Reagan, Washington.

BACA JUGA Malaysia tidak sesekali jadi penonton ketika kezaliman bermaharajalela

Â