38 Veteran ATM Terima Ganjaran Hilang Upaya dalam Majlis Hi-Tea Anjuran JHEV ATM di Melaka

FOTO BERITA: Majlis Hi-Tea & Penyampaian Sumbangan Mock-Up Cheque Ganjaran Hilang Upaya Veteran ATM bersama Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) di Dewan Penyayang, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Alor Gajah, Melaka. 1hb Februari 2025 (Sabtu)

Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari, telah meluangkan masa bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Melaka dalam Majlis Hi-Tea anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Alor Gajah.

Majlis ini diadakan bagi menghargai jasa dan pengorbanan para veteran, khususnya mereka yang mengalami kecederaan ketika bertugas dalam operasi atau latihan berisiko tinggi. Dalam majlis tersebut, YB Adly Zahari turut menyampaikan Ganjaran Hilang Upaya (GHU) kepada 38 veteran ATM dari zon Tengah, merangkumi Melaka dan Negeri Sembilan.

Selain itu, seramai lapan penerima daripada kalangan asnaf veteran ATM menerima sumbangan komputer riba, manakala 22 persatuan veteran ATM Melaka menerima bantuan rahmah sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap khidmat bakti mereka.

Menurut statistik, terdapat seramai 1,825 veteran ATM hilang upaya di seluruh Malaysia, termasuk 292 individu yang mengalami kecederaan semasa operasi dan latihan berisiko tinggi. Sejak awal Januari 2025, kerajaan telah mula menyalurkan GHU kepada mereka yang layak, dengan 43 penerima telah menerima manfaat tersebut setakat ini.

Kerajaan terus komited dalam memastikan kebajikan veteran ATM terpelihara dengan melaksanakan penambahbaikan terhadap Kadar Faedah Hilang Upaya (FHU) berkuat kuasa Januari 2025, antaranya:

Peningkatan Pencen Hilang Upaya (PHU) – Kenaikan pencen bulanan bagi semua peratus darjah hilang upaya dan tambahan 10% untuk penerima sedia ada dalam susunan 2A di PPAT 1982.

Ganjaran Hilang Upaya (GHU) – Bayaran one-off antara RM6,000 hingga RM72,000 berdasarkan peratus kecederaan individu yang dialami ketika bertugas.

Elaun Pelajaran – Dinaikkan daripada RM200-RM685 kepada RM1,600-RM5,400 bagi anak penerima PHU.

Elaun Layanan Sentiasa – Dinaikkan daripada RM440 kepada RM1,500 sebulan.

Di Negeri Melaka, terdapat 12,805 veteran ATM, terdiri daripada 7,320 veteran berpencen, 3,123 veteran tidak berpencen, dan 2,362 penerima pencen terbitan.

Kementerian Pertahanan, melalui JHEV ATM, terus berusaha memastikan kesejahteraan veteran ATM seiring dengan Pelan Strategik MINDEF 2021-2025: Teras 7 – Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM. Komitmen ini turut disokong dengan peningkatan peruntukan JHEV ATM daripada RM226 juta kepada RM239 juta bagi tahun 2025, yang akan digunakan untuk bantuan sara hidup, bantuan perubatan, inisiatif pendidikan dan perumahan bagi para veteran.

Majlis turut dihadiri oleh Mejar Jeneral Dato Hj Semaon Hj Marjuki Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, YBhg Brigedier Jeneral Datuk Khairul Izan Muhammad Suffian Komander Artileri Divisyen Markas Artileri 3 Divisyen, YBhg Datuk Ashraf Mukhlis Minghat Pegawai Penyelaras Parlimen Alor Gajah serta wakil persatuan veteran ATM Negeri Melaka.

Â