Mangsa belasah di pasar tani buka cerita, rupanya motor kena tendang sebelum jatuh

Lelaki yang dipukul di pasar pagi di Padang Astaka, Chukai, bulan lalu mendedahkan apa yang berlaku kepadanya sehingga terlanggar gerai mi goreng dan dibelasah orang ramai.

Menurut Ahmad Nor Al Faizan, insiden itu bermula selepas motosikal yang ditunggangnya ditendang oleh seorang individu yang tidak diketahui siapa.

Ahmad Nor Al Faizan merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental

Katanya, sebelum kejadian, dia melalui kawasan itu untuk menghantar nasi minyak yang dikirim seorang rakannya.

“Saya menunggang motosikal meninjau jualan peniaga di situ dan ketika pusingan kali ketiga, tiba-tiba ada orang tendang motosikal saya dari belakang.

“Ketika terjatuh, saya dipukul ditendang, diheret dengan teruk dan sampai hari ini saya tertanya-tanya mengapa mereka memukul saya sebegitu rupa,” katanya memetik Harian Metro hari ini.

Sebelum ini tular video di media sosial memaparkan lelaki OKU dipukul beberapa individu dalam kejadian di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Terengganu.

Mangsa dilihat diseret di atas jalan serta ditendang di bahagian badan dan kepala mengakibatkan kecederaan pada muka.

Susulan itu polis menerima laporan berhubung insiden itu dan siasatan kini sedang dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Bercerita lanjut katanya, selain dipukul, paling sedih dia terbayang saat mukanya dihumban atas mi goreng di atas jalan.

Ahmad Nor Al Faizan berkata, ketika dipukul dia beberapa kali merayu kesakitan akibat dipukul dan memohon maaf serta memberitahu ingin menggantikan kerugian peniaga mi goreng itu.

Namun rayuannya tidak diendahkan dan dia terus terus dipukul dengan teruk.

“Ketika dihumban ke atas mi goreng yang tumpah di atas jalan itu, saya menahan nafas dan saya cuba menahan muka saya dengan tangan kerana pedih terkena mi goreng sebelum seorang individu curah mi goreng atas kepala saya,” katanya.

BACA JUGA Liyana Marzuki selar MCA, kutuk pemimpin Melayu tapi guna bahasa Cina

Â