‘Something wrong somewhere’ bila khatib tak baca teks khutbah disediakan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ada sesuatu yang tidak kena apabila khatib tidak membaca teks Khutbah Jumaat yang disediakan pihak berkuasa agama negeri itu.

Menurutnya, perkara berkenaan seharusnya tidak timbul kerana setiap teks Khutbah Jumaat telah disiapkan lebih awal iaitu kira-kira sebulan atau dua bulan sebelum ia diterbitkan untuk edaran.

“(Seharusnya) tak ada masalah teks khutbah itu untuk dibaca, kerana memang ada arahan daripada JAIPk agar semua masjid di Perak membacakan teks yang telah disediakan.

“Jadi sekiranya ada mana-mana masjid atau khatib yang membacakan teks Khutbah Jumaat luar daripada yang disediakan JAIPk, ‘ there might be something wrong somewhere’ (mungkin ada sesuatu yang tidak kena),” katanya kepada pemberita semalam.

Bagaimanapun Saarani berkata, pihaknya menyerakan kepada JAIPk untuk menjalankan siasatan sama ada ia melanggar mana-mana peruntukan perundangan atau sebaliknya.

Kelmarin, bekas Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mendedahkan bahawa seorang khatib di Perak tidak membaca teks yang disediakan jabatan agama negeri itu, sebaliknya membaca teks khutbah disediakan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

“Seorang khatib tidak membaca teks khutbah yang dikeluarkan JAIPk. Saya telah hubungi ustaz tersebut. Dia baca teks khutbah Pulau Pinang,” tulis beliau.

BACA JUGA Khatib di Perak tapi baca teks Pulau Pinang, rupanya tajuk khutbah Jumaat JAIPk pasal ini