Karnival Khatan Perdana DUN Kota Anggerik 2025 Tarik Penyertaan Ramai Serendah RM30

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Program Karnival Kesihatan & Hkatan Perdana DUN Kota Anggerik 2025 oleh YB Tuan Mohd Najwan Halimi EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan di Surau Al-Ansor, Seksyen 2, Shah Alam, Selangor. 2hb Februari 2025 (Ahad)

Shah Alam, 2 Februari 2025 – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik telah memperuntukkan kira-kira RM50,000 untuk program saringan kesihatan percuma sepanjang tahun ini, yang dijangka memanfaatkan sehingga 20,000 individu

Wakil rakyatnya, YB Mohd Najwan Halimi, berkata program ini bermula di Surau Al-Ansor, Seksyen 2, Shah Alam, dengan perancangan untuk diperluaskan ke beberapa lokasi lain seperti Seksyen 16 dan kawasan U9 bergantung kepada keperluan serta demografi penduduk.

Lokasi pertama ini dipilih kerana majoriti penduduknya terdiri daripada warga emas dan pesara yang lebih terdedah kepada pelbagai risiko penyakit. Jadi, kita tawarkan saringan asas bagi membantu mereka mengenal pasti sebarang masalah kesihatan lebih awal,” katanya.

Sempena Karnival Kesihatan DUN Kota Anggerik 2025, turut diadakan program Khatan Perdana yang disertai 45 kanak-kanak dari sekitar kawasan tersebut. Bayaran simbolik RM30 dikenakan bagi meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan.

Sambutan sangat menggalakkan, dan kami berharap program ini dapat diteruskan di lokasi lain pada masa akan datang, tambahnya.

Program saringan yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 3 petang ini menyediakan pelbagai ujian kesihatan, termasuk pemeriksaan jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis, buah pinggang, barah, mata, telinga, dan gigi.

Belanjawan Selangor 2025 telah memperuntukkan RM2 juta untuk meneruskan inisiatif saringan kesihatan percuma ini, yang telah diperkenalkan sejak tahun 2022 bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri Selangor.




