Khabar baik buat pesawah, kerajaan peruntuk subsidi RM150 juta
Khabar baik buat pesawah yang sebelum ini menuntut kerajaan mempertimbang untuk menaikkan harga lantai padi.
Kenaikan harga lantai padi pada kadar munasabah bakal diperincikan secara lanjut minggu depan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan memperuntukkan subsidi bernilai RM150 juta bagi tempoh enam bulan bertujuan mengimbangi harga beras dalam pasaran susulan kesan kenaikan harga lantai padi yang baharu itu.
“Kita juga kena tambahan lagi subsidi RM150 juta minimum dari kerajaan supaya kos pengguna tidak naik.
“Kita tidak boleh bicara satu pihak sahaja untuk pertahan pengguna tetapi memangsakan pesawah dan nak naikkan (harga lantai padi) untuk pesawah sehingga memangsakan pengguna kerana pengguna miskin B40 pun ramai.
“Minggu depan paling akhir, Menteri (Pertanian dan Keterjaminan Makanan) akan beri penjelasan dengan pengumuman kenaikan harga (lantai padi) yang munasabah dengan subsidi daripada kerajaan yang bertambah,” jelasnya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dalam soalan tambahannya menggesa kerajaan menaikkan harga lantai padi seperti dituntut Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH).
Tuntutan itu terkandung dalam memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
BACA JUGA ‘Nyawa subsidi’ pun buat hal lagi, tapi polis belum terima laporan