‘Menggelupur’ tengok Agong semeja santap dengan PM, ‘kan dah kena denda RM4,000

Lebih sebulan meninggalkan komentar berbaur hasutan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, seorang pembantu tukang jahit akhirnya didenda RM4,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Norli Mohamed Yusof, 53, membuat pengakuan bersalah.

Tertuduh yang juga ibu kepada lima anak itu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Bharathi dan P. Rajagunaseelan.

Jika gagal membayar denda tersebut, Norli yang didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 diperintahkan hakim untuk dipenjara enam bulan.

Kesalahan berlaku kira-kira pukul 2 petang, 11 Disember tahun lalu di Bandar Seri Alam, di Plentong, Johor Bahru, apabila tertuduh menerusi akaun Facebook Nori Norli menerbitkan hantaran yang kemudian mengheretnya ke mahkamah.

Detik-detik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa santap tengah hari bersama Perdana Menteri boleh pula menyebabkan penyokong taksub pembangkang ‘menggelupur’.

Berdasarkan fakta kes, seorang pengadu telah melihat satu hantaran bergambar di sebuah akaun Facebook yang menunjukkan gambar Yang di-Pertuan Agong bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Perdana Menteri sedang makan tengah hari di sebuah restoran asam pedas popular.

Pengadu melihat pemilik akaun Facebook tertuduh telah meninggalkan komen yang berunsur dan mempunyai kecenderungan menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seri Alam.

Hasil semakan dan risikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati akaun Facebook Nori Norli didaftarkan di nombor telefon anak perempuan tertuduh.

Siasatan terhadap anak tertuduh mengesahkan bahawa akaun Facebook Nori Norli itu dimiliki dan dikendalikan ibunya yang juga tertuduh kes tersebut.

Gambar Sultan Ibrahim menikmati santapan tengah hari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah restoran terkenal di Johor Bahru pada 9 Disember tahun lalu, dilihat mengundang ‘panas’ di kalangan penyokong pembangkang.

Sultan Ibrahim yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bermula 31 Januari lalu itu juga menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Pasir Pelangi.

Foto yang dimuatnaik menerusi Facebook Sultan Ibrahim itu juga menyaksikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berangkat pada sesi menghadap dan santapan tengah hari itu.

BACA JUGA ‘Nyawa subsidi’ pun buat hal lagi, tapi polis belum terima laporan

Â