Usaha LKIM dalam memastikan bekalan ikan berterusan

Bekalan ikan negara bergantung kepada kesediaan ikan, cuaca dan musim. Sotong umpamanya diperoleh dalam bulan April sehingga Julai.

Justeru itu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia mengambil langkah proaktif untuk memastikan bekalan ikan.

“Kita telah menyediakan ‘cold room‘ untuk persatuan nelayan Kawasan menyimpan stok simpanan,” kata pengerusi LKIM Faiz Fadzil.

Selain itu LKIM turut mengadakan sesi libat urus dengan syarikat swasta yang terlibat dengan sektor perikanan.

“Kita engage dengan syarikat swasta untuk adakan bekalan simpanan. Syarikat swasta juga mengimport bekalan seperti ikan kembong dari Negara Thai dan India.

“Mereka akan keluarkannya ke dalam pasaran apabila ada kekurangan seperti sewaktu musim perayaan dan musim tengkujuh.

“Sebab itu, tiada isu harga ikan tinggi.

“Saya sering menyatakan dalam sesi libat urus, jangan jadikan musim monsoon dan perayaan untuk menaikkan harga,” jelas beliau.

Faiz berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif pagi ini di LKIM ketika membincangkan isu bekalan ikan yang turut memainkan peranan penting dalam sektor keterjaminan makanan.

Selain itu beliau menambah bahawa industri akuakultur sedang diperkembangkan lagi untuk memastikan bekalan ikan berterusan.

Akuakultur merujuk kepada ternakan ikan di laut dan sungai. Contoh ikan yang diternak adalah seperti tilapia, genahak dan ikan merah.

“Sebanyak 20 peratus ikan sekarang ialah dari akuakultur, Kita menyasarkan 40 peratus menjelang 2030. Ini kerana tangkapan ikan di laut berisiko dan sumbernya terhad.”

Dalam pada itu Faiz juga berkata bahawa LKIM tidak mengawal harga ikan berdasarkan kepada prinsip ekonomi bebas.

“Kita fokus dalam meningkatkan bekalan. Bila penawaran sama dengan permintaan, harga akan stabil.

“Kita perlu menuruti prinsip ekonomi ini sebagai hala tuju masa hadapan.

LKIM ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang ditubuhkan sebagai agensi peneraju pembangunan industri perikanan Malaysia.

Objektif utama LKIM ialah memperkembang dan memajukan industri perikanan negara dan memperbaiki kedudukan sosioekonomi nelayan dengan tumpuan ke arah peningkatan pendapatan.

Â