5 jam beri keterangan SPRM, media tak dapat kesan kehadiran 3 selebriti

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai merakam keterangan tiga selebriti bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam operasi Op Sky.

Menurut laporan, ketiga-tiga selebriti iaitu Datuk Jalaluddin Hassan, Ziana Zain dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar dirakam keterangan selama kira-kira lima jam bermula jam 10 pagi tadi.

Kesemua mereka memberikan kerjasama penuh.

Kehadiran mereka pagi tadi ke ibu pejabat SPRM gagal dikesan pihak media yang sudah berkumpul di hadapan bangunan agensi terbabit.

Tetapi petang ini media sempat merakam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih dipercayai membawa penyanyi terkenal tanah air, meninggalkan pekarangan bangunan ibu pejabat SPRM.

Media melaporkan, beberapa lagi individu termasuk pihak perbankan dan syarikat perunding kewangan akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya akan memperluas skop siasatan termasuk meneliti jumlah bayaran diterima tiga selebriti yang menjadi pempengaruh kepada syarikat perunding kewangan itu.

Menurutnya, siasatan itu bagi melihat sekiranya ada sebarang isu yang mencurigakan berhubung perkara itu.

Difahamkan, selebriti terbabit dibayar hingga ratusan ribu ringgit bagi menggunakan wajah mereka untuk meyakinkan orang awam menggunakan perkhidmatan syarikat itu.

BACA JUGA Pendakwah minta jangan bantu pemfitnah, takut dia ulang perangai sama

Â