PM Anwar: Hasil siasatan awal dan lengkap akan diberikan kepada negara sahabat
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan jaminan bahawa kedutaan Indonesia akan dimaklumkan berkenaan hasil siasatan awal dan siasatan lengkap kerana Indonesia negara sahabat.
Siasatan ini merujuk kepada insiden tembakan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia yang mengorbankan satu nyawa empat hari lalu.
“Saya ikuti kenyataan Presiden Prabowo Subianto yang tentunya prihatin tapi minta supaya ada siasatan rapi.
“Indonesia negara sahabat. Jadi saya ingin beri jaminan siasatan kita akan cukup rapi, cukup telus, tidak untuk melindungi sesiapa.
“Saya telah minta supaya laporan siasatan awal sampai ke kedutaan Indonesia. Ini hanya berlaku kerana negara ini sahabat baik.
“Siasatan ini apabila lengkap sepenuhnya akan juga diteliti oleh rakan-rakan kita di Indonesia.
“Kita tidak mahu hal-hal ini mengganggu hubungan baik,” kata beliau.