KITA GEMPUR: KPDN WPKL Perkasa Advokasi Bersama Rakan Strategik

FOTO BERITA: Program Advokasi Kita Gempur bagi tahun 2025 bersama rakan strategik peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Bunga Raya Tingkat 25, KPDN WPKL, Sunway Putra Tower Kuala Lumpur. 07 Februari 2025 (Jumaat)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) hari ini melancarkan Program Advokasi KITA GEMPUR buat pertama kalinya sebagai inisiatif memperkukuh penguatkuasaan dan menangani isu ketirisan barang kawalan, kenaikan harga serta penipuan dalam talian.

Program ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk IPK, IPD, MKN, JIM, Kastam, JPJ, JAPEN, ICU JPM, MyCC, SSM, DBKL dan FAMA, serta sokongan daripada industri pembungkusan minyak masak, pengusaha stesen minyak, Gerakan Pengguna Siswa dan Skuad Kita Pengguna.

KITA GEMPUR, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 19 Oktober 2024 di Kota Kinabalu, menekankan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan (K), pemain industri (I), pematuhan Tatakelola (T), dan partisipasi awam (A). Objektifnya adalah untuk memperkasakan inisiatif advokasi dan penguatkuasaan dalam membanteras penyelewengan barangan kawalan serta memastikan kesejahteraan pengguna.

Sepanjang tahun 2024, KPDN WPKL telah menjalankan 1,701 pemeriksaan premis, menghasilkan 11 kes berkaitan barang kawalan, dengan nilai rampasan sebanyak RM644,078.30 dan 19 individu ditangkap. Sistem e-Aduan KPDN juga merekodkan 10,034 aduan daripada orang awam berkaitan ketirisan dan pelanggaran undang-undang.

KPDN WPKL menyeru orang ramai untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat mengenai penyelewengan, penyeludupan, manipulasi harga, serta kartel barang kawalan dan bersubsidi. Kerjasama daripada industri juga dituntut bagi memastikan perniagaan dijalankan secara beretika dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Sebagai langkah lanjut, Ops Bersepadu akan terus diperhebatkan sepanjang tahun ini dengan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan penguatkuasaan lebih tegas dan berkesan demi kepentingan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.

