Pihak berkuasa Kedah digesa siasat aktiviti pecah bongkah batu ancam keselamatan penduduk

Pihak berkuasa negeri Kedah digesa untuk menyiasat aktiviti pemecahan bongkah batu yang didakwa menyebabkan satu letupan luar biasa terjadi di Kampung Padang, Mukim Sungai Kecil Hilir, Daerah Bandar Baharu.

Letupan sekitar jam 2.15 petang itu dipercayai berpunca aktiviti pemecahan bongkah batu oleh pengusaha kuari yang beroperasi di kampung berkenaan.

Sebahagian besar penduduk mendakwa terkejut dengan letupan dan dentuman kuat sehingga menggegarkan kawasan perumahan mereka.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dalam satu kenyataan berkata, penduduk yang paling hampir dengan kuari berkenaan mendakwa gegaran daripada letupan itu menyebabkan lampu siling jenis kalimantang dalam rumah anak saudaranya jatuh ke lantai, manakala bahagian dinding mengalami keretakan.

Presiden SAM, Meenakshi Raman, berkata, beberapa penduduk di luar kawasan Kampung Padang turut mendakwa terdengar letupan berkenaan pada jarak kira-kira satu hingga dua kilometer.

Meenakshi berkata, jenis dan jumlah bahan letupan yang digunakan oleh pengusaha kuari kini menjadi tanda tanya.

Katanya, sepatutnya kerja letupan di kawasan kuari dilaksanakan pembedil bertauliah, selain mematuhi prosedur standard yang ditetapkan terutamanya di kawasan berhampiran dengan struktur bangunan dan kediaman.

“Antara bahaya yang berkait rapat dengan kerja letupan batu termasuklah batu berterbangan, gegaran tanah dan sebaran debu.

Jurutera perunding juga perlu memastikan aktiviti yang dijalankan tidak menyebabkan impak negatif kepada orang awam.

“Selain itu, cadangan reka bentuk letupan yang disediakan pembedil bertauliah perlu diambil kira dan disahkan terlebih dahulu oleh Jurutera Perunding Perlombongan serta dikemuka kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sebelum kerja peletupan dilaksanakan,” katanya memetik Berita Harian

Meenakshi mendakwa, selain insiden letupan itu, isu lain berbangkit seperti bunyi bising daripada mesin pemecah bongkah batu serta masalah lori keluar masuk juga masih diperkatakan penduduk.

Katanya, ini menunjukkan masih ada salah laku oleh pengusaha kuari terbabit walaupun perkara itu diambil maklum pihak berkenaan.

Sehubungan itu SAM sekali lagi menggesa pihak terbabit mengambil serius ke atas perkara yang berlaku dan menjalankan siasatan ke atas kejadian selain menggantung permit pengeluaran bahan batuan serta tidak diperbaharui kerana isu berulang berkenaan.

Â