Selangor Future Cup 2025: Platform Bakat Muda E-Sukan Menuju SUKMA XXII

FOTO BERITA: Majlis Penerangan & Sidang Media Selangor Future Cup 2024/2025 oleh YB Najwan Halim EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan di Aeon Mall Seksyen 13, Shah Alam, Selangor. 6hb Februari 2025 (Khamis)

Kerajaan Negeri Selangor, melalui Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan, akan menganjurkan Selangor Future Cup 2025, kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang bakal menyaksikan penyertaan 64 sekolah menengah seluruh Selangor. Kejohanan ini akan berlangsung pada 22 dan 23 Februari 2025 dengan AEON Mall Shah Alam sebagai venue rasmi, hasil kerjasama dengan pihak AEON.

Penganjuran ini bertujuan untuk mengembangkan bakat pemain bawah 17 tahun dalam bidang e-sukan secara kompetitif serta membentuk kemahiran strategik, kepimpinan, dan kerjasama berpasukan. Lebih daripada sekadar pertandingan, Selangor Future Cup 2025 menjadi platform mengenal pasti bakat baharu untuk mewakili negeri dalam SUKMA XXII Selangor 2026.

Selain itu, kejohanan ini turut menawarkan peluang akademik yang besar, dengan biasiswa bernilai RM160,000 daripada TODAK Academy kepada pemenang bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Kemahiran. Langkah ini memberi peluang kepada pemain muda untuk memperkukuh masa depan mereka dalam bidang akademik dan profesional.

Kerajaan Negeri Selangor juga menjalinkan kolaborasi bersama Selangor Red Giants (SRG) dan TODAK, yang akan memberikan bimbingan profesional kepada peserta. Dengan sokongan rakan strategik ini, Selangor Future Cup 2025 bukan sahaja memperkukuh e-sukan sebagai sukan arus perdana, tetapi juga berpotensi mengembangkan ekosistem keusahawanan digital dan industri kreatif di negeri ini.

Kejohanan ini dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan e-sukan di Malaysia, melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa.


