Selangor Perketat Tindakan Tangani Wabak African Swine Fever dan Isu Lembu Rayau

FOTO BERITA: YB Dato’ Ir Izham Hashim, EXCO Infrastruktur & Pertanian Negeri Selangor mengadakan sidang media berkenaan penularan wabak ‘African Swine Fever’ dan isu ‘Lembu Rayau’ di Pejabat EXCO Infrastruktur & Pertanian Bangunan SUK, Shah Alam Selangor. 6hb Februari 2025 (Khamis)

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) mengesahkan jangkitan African Swine Fever (ASF) di dua ladang babi di Sungai Blankan, Sepang, serta melalui survelan aktif di Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat.

Pengesahan ini dibuat selepas pemeriksaan terhadap 29 ladang membabitkan 25,000 ekor babi di daerah Sepang dan Kuala Langat dari 24 hingga 25 Januari 2025. Semua babi yang diperiksa telah dikuarantin sementara menunggu keputusan analisis sampel, yang diterima pada 28 Januari dan 4 Februari 2025.

Bagi mengawal penularan penyakit ini, Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan tindakan bersepadu bersama PDRM, PBT, JKR, PDT, dan agensi lain. Penternak babi diingatkan untuk meningkatkan biosekuriti ladang dan segera melaporkan sebarang kematian babi kepada pihak berkuasa veterinar.

ASF bukan penyakit zoonotik dan tidak menjangkiti manusia, namun boleh menyebabkan 100% kematian dalam tempoh 2 hingga 10 hari kepada babi domestik dan liar. Orang awam diingatkan untuk tidak menyebarkan maklumat palsu bagi mengelakkan panik dalam masyarakat.

Bagi isu lembu rayau Kerajaan Negeri Selangor memandang serius isu lembu dan kerbau berkeliaran yang mengancam keselamatan jalan raya, mencetuskan pencemaran persekitaran, serta merosakkan harta benda awam. Dianggarkan 4,000 ekor lembu dan kerbau daripada 39,941 ekor di Selangor dibiarkan berkeliaran, melibatkan sekitar 150 pemilik.

Berdasarkan statistik PDRM pada 11 Januari 2025, sebanyak 14,500 kes kemalangan akibat haiwan peliharaan direkodkan pada tahun 2024, dengan 109 kematian, 30 kecederaan parah, dan 13,877 kes kerosakan harta benda.

Bagi menangani isu ini, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor bersetuju meminda Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971 untuk memperkenalkan sistem pelesenan dan tagging haiwan bagi mengenal pasti pemiliknya. Sementara itu, tindakan jangka pendek akan dilaksanakan melalui operasi bersepadu melibatkan PBT, DVS, PDT, dan PDRM, menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta 171, Akta 772, Kanun Keseksaan Seksyen 289, serta Kaedah 33 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan.

Kerajaan Negeri Selangor berharap langkah ini dapat mengawal masalah lembu dan kerbau berkeliaran serta memastikan negeri ini terus maju dan berdaya huni.