Visa untuk berada di Amerika dah tamat. Apa langkah seterusnya?
Rakyat Malaysia di Amerika Syarikat (AS) yang tamat tempoh visa dinasihatkan ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia negara itu mendapatkan sijil kecemasan untuk pulang ke tanah air.
Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata langkah itu perlu sebelum pihak berkuasa negara tersebut mengambil tindakan terhadap mereka susulan laporan 1.44 juta individu bukan warganegara AS menerima arahan akhir pengusiran daripada agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE).
Katanya, tindakan sama juga perlu diambil 435 rakyat Malaysia yang berada dalam senarai itu.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan setakat ini Kedutaan Besar Malaysia di AS tidak menerima sebarang notis pengusiran daripada ICE mahu pun pihak berkuasa AS berhubung perkara itu.
“Sekiranya mereka datang ke kedutaan, kita boleh berikan bantuan konsulat dengan mengeluarkan sijil kecemasan (emergency certificate) yang membolehkan mereka pulang ke tanah air tanpa sebarang hukuman.
“Tetapi setakat ini, masih tiada yang tampil dan pada masa sama pihak kedutaan juga tidak tahu identiti mereka yang tersenarai dalam tindakan pengusiran tersebut,” katanya lapor Utusan Malaysia.
Nazri berkata, rakyat Malaysia yang masuk ke AS melalui ‘jalan tikus’ dari Mexico atau Kanada sangat sedikit sebaliknya kebanyakan mereka masuk secara sah namun tinggal lebih masa.
Ini mengakibatkan nama mereka masuk dalam senarai penyingkiran apabila pentadbiran Presiden Donald Trump menguatkuasakan polisi warga negara asing di AS.
“Kebanyakan mereka masuk ke AS sebagai pekerja dan menetap di New York dan Los Angeles, tetapi disebabkan visa mereka sudah tamat tempoh namun masih kekal di AS, ICE mengambil tindakan.
“Nasihat saya, jika ada rakyat Malaysia yang visanya sudah tamat tempoh, datang ke kedutaan, kita akan keluarkan sijil kecemasan untuk pulang ke tanah air sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya.
Mengulas pengusiran besar-besaran membabitkan kira-kira 1.44 juta individu tersebut Nazri berkata ia disebabkan pentadbiran Trump sedang menepati janji manifesto pilihan raya presiden tahun lalu untuk mengusir migran asing tanpa dokumen menetap di AS secara tidak sah.
Katanya, tindakan Trump bukan kejutan sebaliknya ia janji pilihan raya dibuatnya ketika mewakili Parti Republikan tempoh hari.
BACA JUGA: Naim, Aaron perlu lebih kerap bawa mesej positif keagamaan demi perpaduan