MHO Desak Siasatan Terhadap Skim Pelaburan Mesin Layan Diri Disyaki Penipuan

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim
Setiausaha Agung
Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mengenai menipu dan memperdaya pelabur dalam skim pelaburan mesin layan diri (vending machine) dan kerugian mencecah RM5 juta di Pejabat MHO, Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, kuala Lumpur. 9hb Februari 2025 (Ahad)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap satu skim pelaburan mesin layan diri minuman dan snek yang dipercayai menipu pelabur dengan janji pulangan lumayan.

Setakat ini, MHO telah menerima 54 aduan daripada individu yang mengalami kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah RM5.22 juta setelah menyertai skim yang ditawarkan oleh sebuah syarikat tempatan.

Menurut laporan yang diterima, syarikat tersebut menjanjikan pulangan bulanan serta pelbagai manfaat lain kepada para pelabur. Namun, sehingga kini, tiada seorang pun daripada mereka menerima bayaran dividen seperti yang dijanjikan.

Sebahagian mangsa mendakwa bahawa mesin layan diri yang disediakan oleh syarikat itu memang wujud, tetapi jumlahnya tidak sepadan dengan jumlah pelabur yang telah menyertai skim tersebut. Malah, ramai pelabur langsung tidak mengetahui sama ada mesin yang dijanjikan benar-benar wujud atau tidak.

Dalam sidang media hari ini, MHO menegaskan bahawa modus operandi syarikat tersebut dipercayai sangat licik, menggunakan instrumen perjanjian untuk mengaburi pihak berkuasa bagi mengelak daripada disiasat.

Sehubungan itu, MHO menggesa agensi berkaitan segera mengambil tindakan dan menjalankan siasatan telus bagi memastikan keadilan kepada mangsa-mangsa yang teraniaya dalam skim pelaburan ini

.