Ini jumlah pampasan yang mesti Israel beri kepada Gaza
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dengan tegas menuntut Israel agar bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kehancuran di Gaza yang mencatatkan kerugian sekitar AS$100 bilion.
Berucap ketika menyampaikan Syarahan Umum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, beliau berkata, proses pembinaan semula Gaza harus dimulakan dengan dana pampasan tersebut.
“Israel dan kerajaan Netanyahu mesti bertanggungjawab atas kehancuran ini. Setiap kemusnahan yang tidak diberikan pampasan hanya akan menjadikan pelakunya semakin ganas.
“Setelah menyebabkan begitu banyak kehancuran, penderitaan dan kekejaman, Israel tidak boleh dibiarkan terus bertindak seolah-olah tiada apa yang berlaku,” katanya disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Istiadat Konvokesyen Khas selepas dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Antarabangsa Universiti Malaya (UM) oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang juga Canselor universiti tersebut.
Terdahulu, Erdogan tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2.10 petang tadi bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.
Dalam masa sama, Erdogan menyifatkan hubungan di antara negaranya dan Malaysia sebagai rakan sejati, saudara dan rakan kongsi walaupun jarak di antara dua negara terletak di dua penghujung benua Asia.
Menurutnya, hubungan dua hala di antara dua negara telah ditingkatkan kepada peringkat strategik pada 2014, dan seterusnya menjadi peringkat strategik komprehensif pada 2022, dengan salah satu tumpuan ialah pendidikan dan sumber manusia.
BACA JUGA PM Anwar puji Erdogan isu perjuangan rakyat Palestin