PM beri amaran kepada peniaga bazar Ramadan jika kantoi buat hal ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada mana-mana peniaga yang berniat untuk menjadi orang tengah, memindahkan lesen perniagaan di bazar Ramadan kepada pihak lain.

Beliau meminta agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan segera lesen tersebut jika ada kegiatan seperti itu.

Katanya, isu ‘memindahkan’ lesen itu antara aspek tatakelola yang harus diberi penekanan dan memerlukan penguatkuasaan lebih baik.

“Bayangkan orang nak berniaga bulan Ramadan untuk mendapat hasil dan upah yang lebih tinggi, untuk persiapan keluarga, itu masih ada (isu tatakelola yang berlaku).

“Saya ucapkan terima kasih kepada DBKL kerana kadar (bayaran lesen) itu dikurangkan, tapi kena pastikan siapa yang dapat lesen… dia kerja, kalau dia pindahkan lesen itu, batal segera,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

DBKL selepas ini akan menguruskan sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu negara bermula bagi memastikan penjaja mendapat harga sewaan tapak berpatutan selain pengurusan lebih baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, berkata kadar sewaan tapak sepanjang Ramadan juga akan dikenakan sebanyak RM500.

Sementara itu Anwar berkata, langkah tegas yang diambil Dr Zaliha dan DBKL dalam isu terbabit adalah contoh yang baik.

Perdana Menteri berkata, beliau juga menyokong langkah dan tindakan yang diambil Dr Zaliha serta DBKL dalam penguatkuasaan terhadap kedai haram serta kehadiran pendatang asing yang membugar di kawasan perniagaan besar sejak sekian lama.

BACA JUGA Penganalisis ragu potensi empat MB Pas jadi PM

Â