Segerakan projek tebatan banjir, rakyat terjejas tak mampu menunggu – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua projek berkepentingan rakyat disegerakan termasuk projek tebatan banjir.

Katanya, beliau telah mengarahkan Perbendaharaan dan Kementerian Ekonomi supaya menyegerakan peruntukan bagi projek berkenaan selain mempercepatkan proses prakelayakan tender bagi projek itu.

“Mengapa kita tekankan soal tender ini kerana kita tengok kalau kita pakai kaedah rundingan (terus), banyak nanti keterlanjuran dan ketirisan…jadi sebaiknya kita gunakan tender.

“Tetapi tender itu kalau melalui proses biasa akan ambil masa terlalu panjang dan orang yang terkesan dengan banjir ini tidak mampu menunggu.

“Jadi hal ini saya harap dapat diberi perhatian…insya-Allah, jika kita dapat tingkatkan penguatkuasaan dan keprihatinan kepada rakyat, mudahan-mudahan negara kita dapat ditingkatkan ke mercu yang lebih tinggi dan dikagumi masyarakat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, hari ini.