Pecah monopoli Puspakom: Anthony Loke jawab dakwaan kontrak diberi kepada kroni
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjawab pertikaian pemimpin Pas berkenaan pemilihan syarikat yang baru berusia lapan bulan sebagai pihak yang akan melaksanakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.
Loke menjelaskan, tempoh syarikat ditubuhkan atau didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bukan salah satu kriteria untuk lantikan.
Beliau juga menegaskan, mengapa ketika Puspakom ditubuhkan, tiada siapa mempersoal agensi itu yang langsung tiada pengalaman.
“Namakan saya satu syarikat yang ada pengalaman dalam industri pemeriksaan kenderaan? Memang tak ada… syarikat di Malaysia yang ada pengalaman kerana sebelum ini ia adalah monopoli.
“Mengapa tak ada soalan kenapa dulu bila masa ditubuhkan Puspakom tak ada pengalaman?” katanya kepada pemberita hari ini memetik FMT.
Beliau juga menafikan dakwaan pemberian kontrak ini diberi kepada kroni, menyifatkan pihak tersebut sengaja memutar belit fakta.
“Ada orang sengaja memutar belit fakta. Tiada kontrak diberikan (kepada tiga syarikat), tetapi mereka mendakwa wujud kronisme.
“Kalau anda tidak suka syarikat itu, jangan pergi lah. Jangan main politik sepanjang masa…kalau dulu masa monopoli langsung tak cakap pun,” tambahnya.
Loke sebelum ini mengumumkan kerajaan melantik tiga syarikat bagi perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, menamatkan monopoli Puspakom sejak sekian lama dalam industri itu.
Syarikat yang diumumkan ialah Wawasan Bintang, Pakatan Petroleum, dan Beriman Gold yang akan menjalankan pemeriksaan kenderaan selain Puspakom.
Sementara itu beliau mengulangi bahawa tiga syarikat berkenaan bukan satu-satunya yang layak, malah pihak lain juga boleh memohon menyediakan perkhidmatan sama.
BACA JUGA Ada tiga berita besar yang terjadi semalam, nombor tiga tu buat semua orang lega