Beri insentif kepada petani yang tingkat hasil padi per hektar, baru mereka berlumba
Kerajaan dicadangkan untuk memberikan insentif kepada para penanam padi yang berjaya meningkatkan pengeluaran hasil padi mereka per hektar.
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, dengan cara ini para petani akan berlumba-lumba untuk meningkatkan hasil padi mereka.
“Saya nak cadangkan kepada kementerian agar memberikan insentif kepada para petani yang berjaya meningkatkan pengeluaran padi mereka per hektar.
“Jika sekarang hasilnya 4 ton per hektar, jika hasil mereka meningkat kepada 5 ton per hektar atau 6 ton per hektar, mereka diberikan insentif.
“Dengan cara ini, semua akan berlumba-lumba untuk mengeluarkan hasil padi yang lebih banyak dan menguntungkan petani dan juga negara,” kata Azli Ketika berucap membahaskan kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, apa yang dibuat oleh Kerajaan Madani sekarang adalah untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi negara dan ia perlu disokong.
Dengan pengeluaran yang meningkatlah ia akan menyelesaikan isu kekurangan beras tempatan dan kepergantungan kepada beras import akan menurun.
Azli berkata, kawasan padi di kampung beliau iaitu di Zon Sungai Nipah, Sungai Besar berjaya menghasilkan padi 8 ton per hektar, lebih baik dari purata pengeluaran padi negara iaitu 4 tok per hektar tetapi lebih rendah dari pengeluaran padi di Sekinchan iaitu 10 ton per hektar.
“Sebab itu apa yang dibuat oleh kerajaan sekarang perlu dihargai iaitu usaha untuk meningkatkan pengeluaran padi,” kata Azli yang mengaku beliau hidup dari kecil hingga besar di bendang padi.
Sementara itu, Ahli Parlimen PN dari Beluran mempertikaikan kenyataan Menteri di Dewan Rakyat hari ini sebagai tidak menjawab dua isu pokok dalam industri ini iaitu ketiadaan beras putih tempatan di pasaran dan kebajikan petani.
BACA JUGA Reformasi demi memastikan bekalan beras berterusan
Â