Cadangan Amerika Syarikat Ambil Alih Gaza Tidak Bertanggungjawab dan Langgar Hak Asasi Palestin – AWAN

FOTO BERITA: Penyerahan Memo Bantahan Palestine GAZA diketuai oleh Dato’ Raja Kamarul Bahrin, Biro Antarabsngsa Amanah, Pimpinan Amanah Nasional AWAN, Pemuda, Warda & MAPIM di US Embassy Jln Tun Razak, Kuala Lumpur. 12hb Februari 2025 (Rabu)

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional dengan tegas menolak cadangan Presiden Amerika Syarikat untuk mengambil alih Gaza, menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab, menyalahi undang-undang antarabangsa dan melanggar hak asasi rakyat Palestin.

Menurut Hidayah Ramli Pengerusi Biro Antarabangsa Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN), cadangan ini dibuat di tengah-tengah penderitaan rakyat Palestin yang telah berdepan dengan pembersihan etnik dan genosid selama lebih 15 bulan oleh rejim Zionis Israel. Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Wilayah Palestin yang Diduduki, Francesca Albanese, turut mengecam cadangan tersebut sebagai “tidak masuk akal, menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab.”

Pengumuman ini dibuat oleh Presiden Donald Trump semasa lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke Amerika Syarikat baru-baru ini. AWAN melihat tindakan kedua-dua pemimpin ini sebagai angkuh dan mengabaikan suara PBB serta masyarakat antarabangsa yang memperjuangkan keadilan bagi rakyat Palestin.

Bantahan terhadap cadangan ini datang daripada pelbagai negara di seluruh dunia, termasuk kuasa besar seperti China dan Rusia, serta negara lain seperti Turkiye, Australia, Brazil dan Arab Saudi. AWAN menegaskan bahawa langkah ini hanya membuka jalan kepada penjajahan baharu yang akan memperkukuh kepentingan Amerika Syarikat di wilayah tersebut, sekaligus memudahkan pengambilalihan Gaza oleh Israel.

AWAN turut mengkritik sikap hipokrit Amerika Syarikat yang selama ini menjadi penyokong utama Israel, termasuk dalam pemberian bantuan ketenteraan yang telah mengorbankan lebih 60,000 rakyat Palestin. Kini, Washington cuba berlagak sebagai ‘penyelamat’ dengan cadangan yang sebenarnya mengabaikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri. Rancangan Trump untuk mengusir lebih dua juta rakyat Palestin dari Gaza dan membawa masuk tentera Amerika Syarikat jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia.

Sehubungan itu, AWAN yakin Malaysia, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan terus memperjuangkan hak rakyat Palestin dan memimpin negara-negara ASEAN dalam menentang kezaliman serta ketidakadilan ini.

Mengikuti gesaan Francesca Albanese, AWAN turut menyokong tindakan komuniti antarabangsa untuk mengasingkan Amerika Syarikat atas tindakan biadab mereka. Dunia tidak boleh berdiam diri, dan langkah tegas perlu diambil bagi memastikan keadilan serta hak asasi rakyat Palestin terus dipertahankan
