Insentif RM150 juta pastikan 24 juta kampit beras putih tempatan berada di pasaran
Kerajaan memperuntukkan insentif RM150 juta kepada pengilang padi di seluruh negara untuk enam bulan pertama tahun ini untuk membolehkan beras putih tempatan berada di pasaran.
“Melalui inisiatif ini, 24 juta kampit BPT berat 10 kilogram (RM26.00) akan mula berada di
pasaran secara berperingkat dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan beberapa pengumuman yang dikeluarkan oleh Menteri KPKM Datuk Seri Mohamad Sabu di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad Sabu dalam Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan Kerajaan MADANI telah bersetuju untuk menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan berkuatkuasa 16 Februari 2025.
Penyelarasan ini dapat membantu para pesawah menyerap kenaikan kos pengeluaran padi dan seterusnya menambah pendapatan mereka.
Hari ini, bukan sahaja pesawah mendapat berita gembira tetapi pengguna juga turut lega apabila harga jualan maksima Beras Putih Tempatan (BPT) kekal RM2.60 sekilogram.
Walaupun industri padi dan beras negara sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran seperti ancaman perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik dunia, namun Kerajaan MADANI sentiasa komited menjaga kebajikan pesawah dan kesejahteraan rakyat, dengan mengimbangi kepentingan semua pihak dalam industri padi dan beras negara, kata kenyataan itu.
Pengumuman ini, katanya, diharap dapat memberikan solusi ’menang-menang’
kepada pesawah, pengilang dan pengguna.
Dalam Belanjawan 2025, Kerajaan MADANI menyediakan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion untuk membantu pesawah, termasuk subsidi input pertanian dan insentif output pertanian, bertujuan meringankan beban pesawah serta memperkasakan pengeluaran padi.
“Justeru semua pihak diseru untuk mengenepikan sebarang perbezaan dan perbalahan.
“Sebaiknya semua pihak perlu sama-sama menyokong segala usaha bagi memastikan agenda keterjaminan makanan rakyat kekal menjadi keutamaan pada setiap masa dan Ketika,” katanya.
BACA JUGA Ini langkah reformasi kerajaan atasi masalah ketidakcukupan beras
Â