MHO Gesa Kerajaan Thailand Bertindak Segera Selamatkan Mangsa Penipuan Pekerjaan

FOTO BERITA: Penyerahan Memorandum & Himpunan Aman untuk menyuarakan nasib mangsa-mangsa yang masih ditahan di Pusat Penipuan (Scam Centers) di Thai Embassy, Jalan Ampang Kuala Lumpur. 12hb Februari 2025.(Rabu)

Setiausaha Malaysian International Humanitarian Organisation (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim menyerahkan dokumen memorandum kepada Menteri Kaunselor Kedutaan Diraja Thailand, Aditha Buakhamsi pada sidang media bersama 30 ahli keluarga mangsa yang terperangkap di pusat scam Myanmar di hadapan Kedutaan Diraja Thailand.

Menurut MHO, sejak tahun 2021, mereka telah menerima ratusan aduan daripada mangsa yang dijanjikan pekerjaan bergaji tinggi tetapi akhirnya dipaksa bekerja dalam keadaan eksploitasi. Mangsa tidak hanya ditipu, malah mereka juga mengalami penderaan fizikal, termasuk dipukul dan diseksa sekiranya gagal mencapai sasaran kewangan yang ditetapkan oleh sindiket penipuan tersebut. Dalam kes yang lebih tragis, beberapa mangsa telah meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Laporan menunjukkan bahawa sindiket ini beroperasi dengan membawa mangsa ke sempadan Thailand, di mana dokumen peribadi seperti pasport mereka dirampas sebelum dihantar ke Laos dan Myanmar. Di sana, mereka dipaksa terlibat dalam operasi penipuan dalam talian dan bekerja di bawah pengawasan ketat. Kawasan yang dikenali sebagai “Zon Ekonomi Khas Segitiga Emas” menjadi pusat utama aktiviti ini.

MHO menegaskan bahawa meskipun usaha telah dilakukan untuk membawa pulang ratusan mangsa ke Malaysia, masih ramai lagi yang terkandas dan memerlukan bantuan segera. Oleh itu, mereka menggesa kerajaan Thailand untuk mengetatkan kawalan ke atas pergerakan warganegara Malaysia yang memasuki negara itu bagi mengelakkan lebih ramai yang menjadi mangsa penipuan ini.

Selain itu, MHO juga menyeru kerajaan Thailand untuk memberikan tekanan kepada pihak berkuasa di Myanmar supaya segera membebaskan warganegara Malaysia yang masih ditahan di pusat penipuan di negara tersebut. Campur tangan segera amat diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kepulangan mereka ke tanah air.

MHO berharap pihak berkuasa Thailand mengambil tindakan serius terhadap isu ini dan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia serta negara-negara lain bagi membanteras kegiatan haram ini. Setiap nyawa yang terperangkap dalam sindiket ini mesti diselamatkan sebelum keadaan menjadi lebih burukburuk

Dengan meningkatnya kes penipuan pekerjaan ini, MHO juga menasihatkan rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati dengan tawaran kerja yang kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan. Pihak berkuasa juga disarankan untuk meningkatkan kesedaran dan memperketat kawalan sempadan bagi mengelakkan lebih ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa eksploitasi ini.

Â