Portfolio hal ehwal agama tak perlu dibahagi

OLEH FAIZ FADZIL

Cadangan Ahli Parlimen Raub YB Chow Yu Hui bahawa portfolio hal ehwal Agama di bawah Jabatan Perdana Menteri dibahagi kepada Islam dan agama lain adalah satu cadangan yang tidak ada keperluan, malah tidak praktikal dan tidak menepati peruntukan dan semangat Perlembagaan Persekutuan. Adapun portfolio Hal Ehwal Agama ini adalah khusus untuk Islam sahaja selaras dengan peruntukan 3 (1) Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah bagi Persekutuan.

Kedudukan Islam di negara ini diperkukuhkan lagi dengan peruntukan Jadual Kesembilan Senarai II, yang menunjukkan betapa pentingnya kedudukan Islam dalam kerangka asas Perlembagaan dan pentadbiran negara ini. Ini adalah kerana urusan hidup orang Islam bukan sahaja dikawal oleh undang-undang sivil yang merangkumi juga orang bukan Islam, tetapi juga undang-undang syariah yang mengatur kehidupan orang Islam.

Atas kedudukan ini, perkara-perkara yang dinyatakan di Jadual Kesembilan Senarai II tersebut adalah tertakluk kepada kesalahan atau peraturan berkaitan ajaran Islam (against the precepts of Islam). Kedudukan Islam dalam Perlembagaan ini diperkasakan melalui pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang melalui penubuhan Mahkamah Syariah selaras dengan peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Atas peruntukan Perlembagaan Persekutuan inilah, maka sesuai dan praktikal diwujudkan portfolio hal ehwal Agama (Islam) di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan keberkesanan pentadbiran hal ehwal Islam dan pelaksanaan undang-undang. Sebagai satu kontrak sosial yang mengikat rakyat pelbagai kaum, Amanah tegas mempertahankan peruntukan Perlembagaan ini bagi memastikan martabat Islam terus terpelihara. Sungguhpun begitu, hak beragama bagi agama lain tetap bebas diamalkan di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, Amanah yang mengangkat agenda wasatiyah atau kesederhanaan percaya bahawa peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan sedia ada ini memadai bagi menjamin keharmonian rakyat dan perpaduan kaum. Apa yang lebih penting bagaimana kerajaan Madani merangka dasar dan strategi mendidik dan memupuk kefahaman tentang perpaduan kaum. Justeru, tiada keperluan merangka apa-apa peraturan atau dasar yang membahagikan Islam dan agama lain di dalam satu portfolio.

    Kerajaan Persekutuan telah bertindak adil dalam peruntukan belanjawan sesuai dengan kedudukan dalam Perlembagaan dengan RM2 bilion kepada hal ehwal Islam merangkumi semua perkara dan peruntukan untuk hal ehwal agama lain seperti RM48.9 juta untuk penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam. Ini menunjukkan bahawa walaupun portfolio hal ehwal Agama hanya dikhususkan kepada Islam dan bukannya agama lain, hak dan kepentingan bukan Islam tetap dijaga dengan baik.

    Adapun portfolio untuk hal ehwal bukan Islam diwujudkan di beberapa negeri di Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan adalah melibatkan soal pentadbiran dan bukannya dasar utama. Ia lebih kepada soal pengurusan dan hak rumah ibadat memandangkan perkara tanah dan premis berada di bawah bidangkuasa kerajaan negeri. Maka, ianya sesuai diwujudkan selaras dengan Perlembagaan.

    Mencapai kemerdekaan bukanlah sesuatu yang mudah, maka perpaduan kaum adalah kunci mempertahankan kemerdekaan negara ini. Justeru, tidak perlu mana-mana pihak samaada orang Melayu atau bangsa lain menimbulkan apa-apa isu dan polemik yang boleh membangkitkan salah faham di kalangan kaum. Seharusnya, kita semua berfikir dan bekerja mengikut kerangka asas Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah Agong di dalam kes Ah Tian v Government of Malaysia memutuskan “The power of Parliament and State Legislatures in Malaysia is limited by the Constitution, and they can not make any law they please.”


    Faiz Fadzil ialah Setiausaha Agung AMANAH