Hak asasi dan demokrasi era Madani
Zulqarnain Luqman
Ramai orang yang agak pesimis dengan standard hak asasi dan demokrasi semenjak Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke 10.
Suara nakal sesetengah pihak menyatakan Anwar sudah lupa idealisme perjuangan dan tidak menghiraukan lagi hal sebegitu.
Beberapa orang tokoh serta kumpulan pro-demokrasi seperti Datuk Ambiga dan NGO Bersih menunjukkan rasa tidak senang mereka kerana tumpuan Anwar sekarang lebih kepada bisnes dan ekonomi berbanding kepada pembaharuan demokrasi.
Menjadi Perdana Menteri dalam keadaan parti PH tidak menjadi parti tunggal untuk memerintah bukanlah satu keadaan yang ideal buat Anwar. Ini kerana Anwar perlu membuat keseimbangan idealisme perjuangan setiap parti.
Anwar bukan sahaja perlu meraikan idealisme daripada BN malah perlu meraikan idealisme daripada Borneo. Selain itu, Anwar juga perlu meraikan satu lagi institusi penting dalam pemerintah negara iaitu institusi istana.
Namun, melihat kepada perkembangan sehari dua ini menunjukkan Anwar masih lagi membawa idealisme perjuangan terasnya iaitu pembaharuan demokrasi dan hak asasi.
Tindakan pantas Anwar untuk mengumumkan pindaan kepada Akta Perhimpunan Aman 2012 dan SOSMA seharusnya menjadi titik mula kepada pembaharuan demokrasi dan hak asasi.
Demokrasi dan hak asasi seharusnya berjalan seiring dengan perkembangan ekonomi dan bisnes. Negara yang menghormati demokrasi dan hak asasi akan lebih mudah menarik pelaburan asing ke Malaysia.
Meskipun pembaharuan dalam Akta Perhimpunan Aman itu nampaknya agak kecil iaitu memansuhkan syarat untuk mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis namun itulah hakikatnya kesukaran yang dihadapi oleh penganjur sesuatu perhimpunan.
Ini kerana para demonstran cenderung untuk memilih tempat yang dipenuhi orang ramai. Tanpa orang ramai tidak ada gunanya untuk berhimpun kerana berhimpun itu tujuannya adalah untuk menzahirkan suara supaya didengar
Begitu juga dengan SOSMA. Masalah tahanan SOSMA ini berlaku bukan setakat tempoh penahanannya lebih lama daripada tempoh tahanan di bawah Kanun Prosedur Jenayah namun apa yang lebih menggusarkan adalah bahawa tahanan SOSMA ini akan kekal ditahan sehingga kes itu habis dibicarakan ke peringkat mahkamah tertinggi.
Tidak dinafikan SOSMA ini masih diperlukan di negara ini kerana ancaman keselamatan seperti terorisme itu mungkin akan berlaku pada bila bila masa dan tidak mungkin kita membiarkan kegiatan teroris itu berlaku jika ianya dapat dihalang lebih awal dengan menggunakan SOSMA.
Cuma yang kita agak terkilan apabila ada pihak seperti PAS yang dahulunya menentang SOSMA tetapi apabila berada di tampuk kerajaan selama 33 bulan bukan setakat tidak membawa pembaharuan kepada SOSMA malah membawa dalil dalil agama yang baharu bagi menghalalkan SOSMA. Kini mereka pula kembali kepada dalil-dalil lama untuk tidak bersetuju pula dengan SOSMA.
Kita harapkan Anwar untuk terus tidak meminggirkan aspek demokrasi dan hak asasi di samping usaha berterusan untuk memacu ekonomi negara.
Apa pun tahniah Anwar Malaysia berada pada kedudukan ke-40 Indeks Demokrasi 2023 oleh Economist Intelligence Unit, muncul sebagai negara kedudukan tertinggi di Asia Tenggara seperti yang dinyatakan oleh Jabatan Perangkaan Negara pada September 20024.
Pencapaian ini menunjukkan bahawa Malaysia adalah antara negara yang komited terhadap pembaharuan demokrasi.
Zulqarnain Luqman ialah pengerusi KANUN AMANAH.
Â