Didakwa salah guna kuasa semasa jadi PM, bila tarikh perbicaraan Mahiaddin?
Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin bakal dibicarakan atas pertuduhan menyalahguna kedudukan dan menerima wang daripada aktiviti haram ketika menjadi Perdana Menteri.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi telah menetapkan beberapa tarikh perbicaraan yang akan bermula 17 September nanti.
Hakim menetapkan 17 hingga 19 September, 6 hingga 8 Oktober dan 26 dan 27 November tahun ini serta 13 hingga 15 Januari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan, selain menetapkan 14 Mei ini untuk pengurusan kes.
Mahiaddin, 77, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Presiden Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.
Beliau juga didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank milik parti Bersatu pada 7 Januari 2002.
Â