Lantik tiga syarikat baharu periksa kenderaan, ini jawapan Anthony Loke kepada Pas

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mempertahankan keputusan beliau melantik tiga syarikat baharu yang selepas ini akan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan selain Puspakom.

Dalam sidang Dewan Rakyat pagi ini, Anthony berkata pelantikan tiga syarikat tersebut dibuat melalui proses lantikan secara terbuka bagi memastikan fungsi syarikat itu tidak diragui.

Beliau bahkan menegaskan, jika beliau berniat mahu menyembunyikan pelantikan syarikat yang dipilih, beliau tidak perlu susah-susah mengumumkan nama syarikat.

“Kalau saya nak sorok-sorok, tidak payah saya umum nama syarikat ini. Yang penting kita nak buka pasaran pemeriksaan kenderaan ini lebih kompeten dan berdaya saing

“Lebih banyak pilihan kepada pengguna, termasuk pusat pemeriksaan di Jerantut yang akan memudahkan rakyat supaya tidak pergi jauh,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan kriteria dan relevensi pemilihan ketiga-tiga syarikat PPKM baharu biarpun tidak mempunyai pengalaman.

Anthony berkata, ketiga-tiga syarikat tersebut adalah milik Bumiputera dan seharusnya diberikan keyakinan untuk melakukan projek berkenaan.

“Jadi kita kena ada keyakinan dengan syarikat-syarikat ini dan yang penting pemeriksa kenderaan itu mesti bertauliah. Apabila mereka siapkan semua kriteria, kelengkapan dan kemudahan perlu ada pemeriksaan setiap lorong itu mesti dilantik oleh pemeriksaan kenderaan yang bertauliah.

“Pekerja mesti ambil kursus dahulu di JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), penilaian juga oleh JPJ baru boleh menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan,” jelasnya.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan mengumumkan tiga syarikat baharu yang diberikan projek melaksanakan PPKM adalah Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd

BACA JUGA Kelantan perlu selesai segera masalah air supaya pesawah boleh tingkat hasil padi