Selepas ramai berang ‘arbok’ buat semak di AJL, TV3 akhirnya bersuara
TV3 akhirnya memohon maaf selepas orang ramai berang dengan penonjolan ‘arbok’ atau lelaki berpakaian wanita semasa Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 di Kuala Lumpur, kelmarin.
Menurut stesen televisyen swasta itu, pihaknya berjanji akan mengambil langkah proaktif untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
“Kami mengambil maklum bahawa insiden ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, dan memohon maaf atas kejadian tersebut.
“TV3 ingin menegaskan bahawa pakaian menyerupai wanita oleh tetamu tersebut tidak pernah dibenarkan dan tidak selari dengan norma dan nilai-nilai yang dijunjung oleh masyarakat Malaysia serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kelmarin, orang ramai mengecam gejala menonjolkan pondan berfesyen wanita di karpet merah AJL.
Rata-rata mendesak pihak media tempatan agar tidak menormalisasikan fenomena pondan yang lazim dikaitkan dengan industri hiburan.
Malah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius isu lelaki Muslim yang berpakaian menyerupai wanita dalam sebuah acara pertandingan hiburan itu.
BACA JUGA Padam menjelang Subuh, ini antara 10 kedai di Pantai Chenang yang terbakar