Berucap depan lebih 400 ulama dan sarjana Islam dunia, ini mesej penting PM Malaysia

Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan sebagai satu-satunya ketua negara bagi menyampaikan ucapan dan berkongsi pandangan bersama lebih 400 para ulama serta sarjana Islam di Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC).

Bertempat di Manama, Bahrain, Perdana Menteri berkata, platform tersebut dimanfaatkan dalam menggesa agar sarjana Islam dan pemimpin agama bersatu dalam menangani isu sektarianisme dengan mengambil tindakan konkrit mendukung Palestin dan Syria.

“Saya tegaskan bahawa eksploitasi sektarianisme digunakan sebagai senjata membakar ketegangan hanya akan memecahbelah masyarakat serta melemahkan kerjasama politik sekali gus menjauhkan kita dari kesatuan yang didambakan.

“Alhamdulillah, ucapan saya ini senada dengan gesaan Imam Besar Al Azhar Al Sharif Prof Dr Ahmed El-Tayyeb, yang menggesa agar sarjana dan kepemimpinan dunia Islam untuk memimpin usaha memupuk perpaduan serta bertindak dengan kesedaran sebagai ummah yang bersatu, selain menolak budaya fanatisme agama yang kian mengakar,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook beliau.

Persidangan yang diadakan di bawah naungan Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa, serta dihadiri oleh Imam Besar Al Azhar itu berlangsung semasa lawatan rasmi pertama Anwar ke negara Teluk itu atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman bin Hamad Al Khalifa.

Anwar berkata, dunia Islam mesti mempamerkan solidariti yang lebih besar terhadap warga Palestin yang bukan sekadar melalui retorik, tetapi dengan tindakan yang kolektif, usaha diplomatik yang sistematik dan berterusan, serta dukungan ekonomi.

“Pembunuhan beramai-ramai, peluasan penempatan haram dan pengusiran berterusan warga Palestin menuntut lebih daripada sekadar kecaman.

“Dunia Islam mesti komited dalam menyediakan dukungan dalam aspek pendidikan, hak dan akses kepada kesihatan dan infrastruktur serta mesti melonjak suara mereka di setiap platform antarabangsa,” kata Perdana Menteri.

Dalam masa sama, Anwar yang sebelum ini dinobatkan sebagai pemimpin dan ahli politik Islam kesembilan paling berpengaruh di dunia turut menyentuh soal Syria.

Beliau menegaskan negara yang menyaksikan kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024 itu sebagai berpotensi menjadi model bagi usaha perdamaian dan rujukan selain menggesa dunia Islam untuk sama-sama menyusun masa depan mereka.

“Tanda-tanda awal penyesuaian dan usaha membina keamanan di Syria bukan sahaja membawa harapan kepada rakyat Syria, tetapi juga peluang bagi seluruh ummah.

“Insya-Allah, biar sejarah mencatat bahawa melalui tindakan, integriti, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi, kita sememangnya satu ummah, dengan satu tujuan yang sama,” seru Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA MP pra-matang ini elok dinyah dari Parlimen penggal depan

Â