ADUN MUDA Selangor 2025: Inisiatif Melahirkan Pemimpin Belia Berwibawa

FOTO BERITA: Sidang media oleh YB Lau Weng San, Speaker Dewan sempena Program ADUN MUDA Selangor 2025. Turut hadir YB Tuan Mohd Najwan Halimi EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan di Ruang Sidang Media, Wisma Dewan Negeri Selangor.

Program ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bagi melahirkan pemimpin muda berkualiti dan berwibawa dalam arena politik serta pentadbiran negeri.

Program ADUN MUDA Selangor 2025 bertujuan memberikan pendedahan kepada golongan belia mengenai sistem demokrasi, peranan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), serta proses legislatif di peringkat negeri. Melalui program ini, peserta akan menjalani pelbagai aktiviti termasuk simulasi sidang dewan, bengkel kepimpinan, serta sesi dialog bersama pemimpin dan pakar dalam pelbagai bidang.

Seramai 56 peserta muda akan terlibat dalam program ini, mewakili setiap DUN di Selangor. Mereka akan diberi peluang untuk merasai pengalaman sebagai ADUN melalui perbahasan dasar, penyediaan usul, serta penyampaian hujah di dalam sidang simulasi yang bakal diadakan di Dewan Negeri Selangor.

Program ADUN MUDA Selangor 2025 juga akan memberi fokus kepada pembangunan kemahiran kepimpinan, pemikiran kritis, serta komunikasi berkesan dalam kalangan peserta. Program ini diharapkan dapat melahirkan generasi pemimpin muda yang berupaya membawa perubahan positif kepada masyarakat dan negeri Selangor.

Pihak penganjur menyeru golongan belia untuk mengambil peluang ini bagi mengasah bakat kepimpinan dan memahami selok-belok pentadbiran negeri secara lebih mendalam. Maklumat lanjut mengenai Program ADUN MUDA Selangor 2025 boleh didapati melalui laman sesawang rasmi Dewan Negeri Selangor atau media sosial rasmi program ini.

Â