Bekas naib presiden Pas dilantik wakil Malaysia ke Majlis Hukama’ Muslimin
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad telah dilantik sebagai wakil Malaysia yang baharu ke Majlis Hukama’ Muslimin yang dipengerusikan oleh Sheikh Al-Azhar Al-Sharif.
Nakhaie diperkenalkan kepada Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb yang juga Pengerusi Majlis Hukama’ Muslimin di Bahrain dalam pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan beliau kelmarin.
“Saya turut memperkenalkan Dato’ Mohd Nakhaie Ahmad kepada Sheikh Al-Azhar Al-Sharif sebagai wakil Malaysia yang baharu di dalam Majlis Hukama’ Muslimin,” kata PM Anwar dalam satu kenyataannya.
PM Anwar mengadakan pertemuan dengan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif di sela sidang Majlis Hukama’ Muslimin di Bahrain.
Beliau menjadi satu-satunya ketua negara yang berucap di sidang itu.

(Anwar memperkenalkan Nakhaie sebagai wakil Malaysia ke Majlis Hukama’ Muslimin kepada pengerusinya yang juga Sheikhul Al Azhar– Gambar FB Anwar)
Di pertemuan itu, kedua-dua berbincang dan menilai kembali pencapaian badan itu selepas pertemuan mereka di Kaherah sebelum ini.
“Kami dapat menilai semula tahap kerjasama yang telah dipersetujui semasa pertemuan yang berlangsung di Kaherah, November lalu,” kata Anwar.
Pertemuan ini memberi fokus kepada memorandum persefahaman (MoU) penubuhan Institut Bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Al-Azhar Al-Sharif selain penawaran biasiswa buat pelajar Malaysia menyambung pelajaran di institusi berkenaan.
“Kami juga membincangkan soal penubuhan secara rasmi Majlis Hukama’ Muslimin di Malaysia selain menyentuh hal ehwal Agama Islam dan situasi di Palestin,” katanya.
Beliau turut mendoakan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif dan keluarga terus dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, Insya-Allah.
Â