KPDN Selangor Tumpaskan Sindiket Penyelewengan LPG Bersubsidi Bernilai RM1.6 Juta

FOTO BERITA: Sidang Media Khas Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkenaan kes disyaki seleweng LPG GAS subsidi di Taman Meranti Permai, Puchong Selangor. 20hb Februari 2025 (Khamis)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam satu operasi serbuan di sebuah premis di sekitar Puchong.

Dalam serbuan yang dilakukan sekitar jam 11.00 malam, pasukan penguat kuasa KPDN Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah merampas barang kes dianggarkan bernilai RM1.6 juta. Operasi ini adalah hasil risikan selama sebulan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Menurut Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey modus operandi penyelewenga mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti pemindahan LPG bersubsidi daripada tong 14kg yang digunakan untuk isi rumah kepada tong 50kg yang digunakan untuk industri. Beberapa peralatan seperti hos penyambung dan tong ais ditemui di lokasi, dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan gas ini.

Sindiket ini dipercayai menggunakan lori bonded untuk membawa LPG bersubsidi 14kg sebelum memindahkannya ke dalam tong 50kg menggunakan kaedah konvensional dengan ais bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa. Aktiviti ini dilakukan bagi membekalkan LPG bersubsidi kepada pihak industri dengan harga lebih rendah berbanding pasaran sebenar.

Seramai 21 individu ditahan dalam serbuan ini, termasuk empat warganegara Malaysia dan 17 warga asing dari Myanmar (3), Sri Lanka (3) dan India (8). Salah seorang yang ditahan dipercayai pemilik premis tersebut, dan perintah reman akan dipohon untuk siasatan lanjut. Tiga warga asing tanpa dokumen sah telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor.

Dalam operasi ini, pasukan penguat kuasa telah menyita lebih daripada 4,000 unit tong LPG pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg, serta 17 buah lori yang dipercayai digunakan dalam aktiviti haram ini. Beberapa dokumen perniagaan turut dirampas bagi membantu siasatan.

Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, khususnya Seksyen 21 yang memperuntukkan tindakan ke atas individu yang memiliki barang kawalan dengan menimbulkan syak munasabah akan melakukan kesalahan.

Jika disabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan seterusnya, atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat, denda maksimum boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan seterusnya.

KPDN Selangor menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti haram ini. Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan melalui inisiatif “KITA GEMPUR” bagi membendung sindiket penyelewengan LPG bersubsidi dan memastikan subsidi negara digunakan dengan betul.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui Whatsapp 019-848 8000, Call Centre: 1-800-886-800

Â