Selangor Perkukuh Industri Penjagaan, Lancar Program XCare 2025

FOTO BERITA: Sidang Media Pelancaran Program Selangor Care Accelerator 2025 (XCare) oleh YB Puan Anfaal Saari, EXCO Pembangunan Wanita Dan Kebajikan Masyarakat di Ruang Sidang Media, Wisma Dewan Negeri Selangor. 20hb Februari 2025 (Khamis)

Menurut YB Anfaal dan juga EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita & Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan telah melancarkan program Selangor Care Accelerator 2025 (XCare). Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh industri penjagaan serta memberi sokongan kepada perniagaan tempatan yang berkaitan dengan sektor ini.

Program XCare dilaksanakan sejajar dengan Teras 4 Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor 2024-2030 yang menumpukan kepada pelaburan dan kerjasama dalam industri penjagaan. Pelancaran program ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam merangsang inovasi, menyokong pertumbuhan perniagaan, dan membangunkan ekosistem industri penjagaan yang mampan di negeri Selangor.

Sebanyak 30 perniagaan yang disenarai pendek akan menjalani bengkel intensif yang merangkumi 13 modul berkaitan perniagaan penjagaan serta kemahiran pitching. Peserta juga akan diberikan bimbingan menerusi sesi mentoring bersama tokoh industri berpengalaman dan akan turut serta dalam lawatan ke industri penjagaan tempatan bagi memperluaskan pemahaman dan rangkaian mereka.

Kemuncak program ini adalah pertandingan pitching, di mana peserta akan berentap di peringkat separuh akhir. Daripada jumlah itu, 10 perniagaan akan dipilih untuk ke peringkat akhir. Lima perniagaan terbaik akan dinobatkan sebagai ‘Top 5’ dan bakal menerima ganjaran lawatan industri ke luar negara, peluang rangkaian bersama pemain industri dan pelabur, serta sokongan padanan perkhidmatan dan infrastruktur negeri dan persekutuan. Selain itu, mereka juga akan menerima trofi dan sijil penyertaan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka.

Untuk pendaftaran program dibuka mulai hari ini, 20hb Februari sehingga 10 Mac 2025. Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang xcare.selcare.com atau melalui e-mel xcare.selangor@gmail.com.
Â