ADUN Ayer Kuning rebah di tepi padang bola
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin disahkan meninggal dunia selepas rebah sewaktu menghadiri Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru antara Pulau Pinang, Perlis, Kedah, dan Perak di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Georgetown petang tadi.
Wakil rakyat dari BN yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Perak sekitar tahun 80-an dan 90-an berkenaan menghembuskan nafas terakhir pada usianya 59 tahun.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rozlita Abdullah dan empat orang anak.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad dilapor berkata, kejadian berlaku ketika Ishsam sedang bersalaman dengan pemain lain di tepi padang semasa kejohanan itu.
Selepas menerima bantuan kecemasan di tepi padang, Allahyarham dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan pada jam 6.28 petang.

Pengerusi BN Parlimen Tapah yang lahir pada 31 Ogos 1966 di Sungkai, Perak itu mula berkhidmat sebagai ADUN Ayer Kuning sejak 19 November 2022.
Sebelum itu, beliau memulakan kerjaya bola sepaknya sebagai pemain tengah dengan pasukan Perak FA pada 1984 hingga 1990.
Ishsam kemudian bermain untuk Negeri Sembilan FA pada 1991 sebelum kembali ke Perak FA dari 1992 hingga 1996.
Sepanjang tempoh bersama Perak, beliau berjaya memenangi Piala FA Malaysia yang pertama pada 1990.
Selepas bersara daripada bola sepak, Ishsam menceburi bidang perniagaan sebagai kontraktor dan menjadi aktif dalam politik.
Dalam masa sama, beliau terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak dengan berkhidmat sebagai Naib Presiden dan Penolong Pengurus pasukan Perak FA.
Pemimpin berkenaan juga pernah menjadi pengurus pasukan Piala Presiden Perak FA (bawah 23 tahun).
BACA JUGA Isu guru KAFA di Selangor: Ada yang ‘terbakar’ dengar cadangan Exco Agama ini
Â