FOTO BERITA | Baik pulih rumah asnaf, Puan Rokiah terima bantuan RM30,000

FOTO BERITA: Majlis Ihsan Madani Projek Baik Pulih Rumah Asnaf, Skim Bantuan Awal IPT, Bantuan Khas & Bakul Makanan Parlimen Bandar Tun Razak disempurnakan oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Ahli Parlimen Bandar Yun Razak. Turut hadir Datuk Azman Abidin Ketua Cabang Bandar Tun Razak merangkap Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri di Apartment Desa Tasek, Sg Besi, Kuala Lumpur. 22hb Februari 2025 (Sabtu) (Foto: YWP)

Majlis ini bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak, khususnya mereka yang kurang berkemampuan. Salah satu inisiatif utama adalah Projek Baik Pulih Rumah Asnaf, yang memberikan bantuan kepada individu seperti Puan Rokiah bt Ismail, seorang warga emas yang uzur dan hidup bersendirian. Dengan peruntukan sebanyak RM30,000, rumah beliau telah dibaik pulih agar lebih selamat dan selesa untuk didiami.

Selain itu, sembilan (9) orang pelajar menerima Skim Bantuan Awal IPT sebanyak RM700 seorang sebagai bantuan one-off untuk memulakan pengajian mereka di peringkat Sijil, Diploma, atau Ijazah Sarjana Muda di IPTA atau IPTS. Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban kewangan keluarga pelajar dalam menyediakan keperluan asas pendidikan.

Dalam majlis yang sama, tiga (3) individu turut menerima Bantuan Khas Perubatan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan bagi membantu mereka mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan yang diperlukan. Selain itu, 100 penduduk di Apartment Desa Tasik menerima Bakul Makanan MADANI daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) bagi membantu meringankan kos sara hidup harian mereka.

Dato’ Seri Dr Wan Azizah dalam ucapannya menegaskan bahawa kerajaan komited dalam menjaga kebajikan rakyat melalui dasar Malaysia MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan sosial dan pembangunan masyarakat. Beliau turut mengalu-alukan lebih banyak kerjasama daripada syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama membantu golongan yang memerlukan.

Majlis Ihsan Madani ini diharap dapat menjadi contoh kepada program-program kebajikan lain, serta diteruskan dan diperluaskan di masa hadapan agar lebih ramai penduduk di Bandar Tun Razak mendapat manfaatnya.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus membantu, khususnya Yayasan Wilayah Persekutuan, Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) WP Bandar Tun Razak, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), serta individu-individu yang terlibat secara langsung atau tidak” tambahnya lg.


