Ini fokus utama pemukiman dua hari Jemaah Menteri
Pemukiman Jemaah Menteri menekankan kepentingan kerja secara berjemaah di kalangan mereka dan bertindak sebagai sebuah pasukan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sewaktu berucap pada majlis penutup Permukiman Kerajaan Madani Tahun 2025, saya ulangi kepentingan untuk bekerja sebagai sebuah pasukan yang menuntut kebersamaan serta kesatuan yang tinggi,” kata Anwar dalam satu kenyataannya.
Katanya, peranan, tugas dan tanggungjawab yang digalas anggota Jemaah Menteri bakal memberi impak dan mencorak masa depan 34 juta rakyat negara ini.
Sehubungan itu, pemukiman ini turut membincangkan keutamaan yang perlu diambil oleh mereka untuk tahun 2025 hingga 2027 sebelum rakyat membuat penilaian terhadap mereka dalam pilihan raya umum ke 16 nanti.
PM Anwar juga turut menekankan kepentingan Jemaah Menteri agar tidak melakukan kesilapan dan salahguna kuasa.
“Jika masih berlaku keterlanjuran salahguna kuasa, rasuah, khianat, dan sebagainya, agak sukar untuk Kerajaan Madani ini membuat perubahan dan terus mengejar impian menjadi sebuah negara maju dan berdaya saing di pentas dunia,” kata beliau.
Sebelum itu, dalam sidang media di sebelah petang, Anwar memaklumkan bahawa pemukiman ini bukan sekadar memberi peluang kepada menteri untuk mengemukakan pandangan, tetapi juga berfungsi sebagai platform untuk menerima laporan dan teguran daripada pihak berkecuali, termasuk akademik serta penjawat awam.
“Saya percaya, kritikan yang ada perlu diterima dengan hati terbuka sekaligus memberi ruang untuk memperbaiki kelompongan yang ada dalam kerajaan, justeru ia membawa kepada keperluan kesatuan dan kebersamaan untuk berfungsi sebagai sebuah kerajaan MADANI yang benar-benar mengangkat suara dan kehendak rakyat,” katanya.
PRESTASI MEMBANGGAKAN

(Antara yang dibincang dalam pemukiman ini adalah keutamaan untuk tiga tahun mendatang – Foto Facebook Anwar Ibrahim)
Anwar juga mengakui bahawa prestasi sebahagian menteri Kabinet belum sempurna dan masih ada ruang untuk penambahbaikan.
“Setakat ini, saya tidak mengatakan semuanya sempurna, tetapi prestasinya (Jemaah Menteri) membanggakan kerana mereka ambil serius teguran yang mereka terima dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memperbaiki prestasi,” katanya.
Permukiman itu juga membincangkan mengenai keperluan bagi kerajaan untuk melihat semula pendekatan diambil bagi mengurangkan kesan inflasi kepada rakyat.
Anwar berkata walaupun terdapat statistik yang menunjukkan prestasi membanggakan namun masih ada beberapa masalah yang harus kerajaan selesaikan seperti kenaikan harga barang.
“Walaupun angka-angka statistik menunjukkan inflasi kita rendah, rakyat mengeluh tentang kenaikan harga barang, terutamanya barang perlu (barangan asas).
“Ini satu cabaran yang kita beri penekanan kerana kita faham bahawa angka-angka tentang lonjakan ekonomi, peningkatan pelaburan dan keamanan serta tarikan pelancongan itu hanya lebih bermakna sekiranya kita dapat kawal kenaikan harga yang membebankan sebahagian rakyat kita,” katanya.
BACA JUGA Pas ‘u-turn’ dalam sokongan terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar