Kerajaan tak pernah paksa pembangkang sokong PM kalau nak peruntukan

Kerajaan tidak pernah meletakkan sebarang syarat yang memaksa pembangkang untuk menyokong Perdana Menteri jika mahu mendapatkan peruntukan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belum apa-apa beliau sudah dituduh dengan dakwaan sedemikian walhal ianya tidak berlaku.

“Mereka belum apa-apa pun sudah tuduh kita paksa sokong Perdana Menteri. Kita tidak ada langsung syarat-syarat yang dikemukakan,” katanya pada sidang media Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan Madani 2025 semalam.

Anwar berkata, sudah dua tahun Ahli Parlimen pembangkang berdolak dalih mengenai isu peruntukan sedangkan kerajaan sudah pun membuka ruang perbincangan untuk mereka.

“Seperti kita tahu sudah dua tahun lebih dia berdolak-dalik. Kita tidak ada masalah, kita dah beri ruang,” ujarnya.

Beliau mengulangi nasihatnya supaya berbincang bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung peruntukan itu.

Anwar berkata, perbincangan sedemikian bukanlah perkara baharu malah beliau sendiri semasa Pakatan Harapan menjadi pembangkang pernah berbincang dengan Perdana Menteri Kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

BACA JUGA Ini sebenarnya cerita Akta Pembangunan Semula…

Â