Kes Cabul Kanak-Kanak di Batang Kali: Kerajaan Negeri Seru Persekitaran Lebih Selamat untuk Wanita dan Kanak-Kanak

FOTO BERITA: Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, YB Anfaal Saari, menzahirkan kekesalan serta simpati terhadap insiden gangguan seksual melibatkan seorang kanak-kanak perempuan oleh lelaki orang kurang upaya (OKU) di sebuah masjid di Batang Kali.

Beliau meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan perkhidmatan kaunseling percuma bagi membantu mangsa menangani potensi trauma akibat kejadian ini. (Gambar Hiasan)

Beliau turut menegaskan bahawa wanita berhak menunaikan solat di masjid dan tidak sepatutnya dihalang dengan alasan keselamatan. Sebaliknya, masyarakat perlu memastikan persekitaran yang lebih selamat di tempat awam seperti masjid, sekolah, dan tempat kerja.

YB Anfaal juga mengingatkan masyarakat agar tidak mewujudkan stigma negatif terhadap golongan OKU berikutan kes ini. “Kad OKU tidak seharusnya menjadi alasan untuk pelaku terlepas daripada tindakan undang-undang,” tegasnya. (Gambar Hiasan)

Beliau turut menggesa pihak berkuasa untuk menilai tahap kewarasan pelaku bagi menentukan keupayaan mereka membezakan baik dan buruk semasa kejadian. Pada masa yang sama, beliau yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan yang adil bagi menegakkan keadilan.

Kerajaan Negeri Selangor juga komited dalam menjaga kebajikan golongan OKU menerusi Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) yang dijangka ditubuhkan tahun ini. Yayasan ini akan memperluas inisiatif kebajikan kepada pelbagai kategori OKU termasuk golongan dewasa.

Beliau mengakhiri kenyataan dengan harapan agar mangsa kekal sihat secara fizikal, mental, emosi, dan spiritual serta menyeru agar masjid dan tempat awam di Selangor menjadi persekitaran yang lebih selamat bagi wanita dan kanak-kanak. (Gambar Hiasan)

Â