FOTO BERITA | Sumbangan RM180,000 kepada masjid dan surau DUN Kota Anggerik

FOTO BERITA: Majlis Hi-Tea Perdana Ihya Ramadhan DUN Kota Anggerik bersama YB Tuan Mohd Najwan Halimi ADUN Kota Anggerik merangkap EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan di Dewan Syarahan & Muzakarah Islam, Masjid Negeri, Shah Alam, Selangor. 22hb Februari 2925 (Sabtu) Foto: DUN Kota Anggerik

Lebih 200 pemimpin komuniti yang terdiri daripada anggota jawatankuasa pengurusan lebih 80 masjid dan surau di bawah pentadbiran DUN Kota Anggerik telah diraikan dalam Majlis Hi-Tea Ihya’ Ramadan yang berlangsung di Dewan Syarahan & Muzakarah Islam, Masjid Negeri, Shah Alam.

Majlis tersebut dianjurkan oleh YB Najwan Halimi, EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, sebagai usaha menyantuni pimpinan masjid dan surau serta memperkukuh hubungan silaturahim bersama mereka.

Dalam majlis berkenaan, YB Najwan turut menyampaikan sumbangan Ihya’ Ramadan yang merangkumi bantuan kewangan, kurma Ajwa serta kupiah dan telekung solat kepada setiap masjid dan surau yang hadir. Jumlah keseluruhan sumbangan yang diberikan adalah sebanyak RM180,000.

“Majlis seperti ini merupakan amalan tahunan sejak saya menjadi wakil rakyat. Ia bertujuan untuk menghargai sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh pimpinan masjid dan surau dalam membimbing serta menggerakkan komuniti ke arah kehidupan yang lebih berlandaskan nilai Islam,” ujar beliau dalam ucapannya.

Majlis turut dimeriahkan dengan sesi tazkirah oleh pendakwah tersohor, Ustaz Roslan Mohamed, yang mengupas tentang keutamaan Ramadan serta kepentingan melipatgandakan ibadah sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Diharapkan sumbangan yang diberikan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pihak masjid dan surau di kawasan DUN Kota Anggerik dalam usaha menyemarakkan bulan Ramadan Al-Mubarak dengan pelbagai program dan aktiviti kerohanian untuk para jemaah.

Â